Malam tadi sempat mencuri masa berjumpa dengan dua pelajar Peluang Kedua di Man Bai Ikan Bakar yang terletak di Jalan Sungai Buloh. Hafez sudah di tahun akhir Diploma Perakaunan di KPTM manakala Bukhari baru sahaja bekerja di syarikat Abdel Cuci selepas percubaan menyambung pelajaran di IKBN dan kemudian di Kolej Hafiz tidak begitu berjaya.
Saya nak kongsikan 10 poin menarik yang dapat saya kumpulkan hasil sembang santai dengan mereka tadi:
1. Kepintaran bukan penentu mutlak kejayaan
Beberapa orang pelajar pintar yang kami kenal kini sedang kecundang. Kedengaran seperti tidak logik tetapi itulah hakikat kehidupan. Pintar sahaja tanpa ramuan hidup yang lain, belum menjamin kejayaan.
2. Istiqomah
Tidak pintar juga boleh berjaya dengan adanya sikap istiqomah. Tanpa istiqomah, yang pintar pun sukar bertahan lama. Kalaupun tersasar, ia hanya sebentar. Kembali ke jalan asal dan teruskan perjalanan. Jika terjatuh, urus lukanya dan setelah sembuh bangkit kembali. Teruskan perjalanannya.
3. Setiap perubahan dalam perjalanan hidup memberikan perspektif baru.
Jika dulu di kolej hanya nampak satu jalan sahaja iaitu perlu lulus exam. Bila sudah bekerja, pandangan kita akan terbuka lebih luas. Misalnya, selain hanya makan gaji, boleh sahaja buka perniagaan sendiri dan memberi peluang pekerjaan kepada puluhan orang lain.
4. Tidak apa jika kita bertukar jalan.
Tak apa jika kita gagal.
Tidak apa jika kita terjatuh.
Bangkit. Bangun kembali. Cari landasan yang betul dan sambung perjalanan hidup. Biarpun lambat, asalkan konsisten bergerak ke hadapan.
5. “Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.” (HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998)
Sudah jatuh, bangkit diangkat oleh orang lain. Kemudian memilih untuk terjun semula dalam lubang yang sama? Kami berbincang mengenai mengapa beberapa orang pelajar yang kami kenal telah bebas dan kini kembali kecundang. Manusia ini memang makhluk yang aneh.
6. Tahap kematangan manusia berbeza-beza.
Ada yang matang di awal usia. Ada yang dikurniakan rezeki lambat, sudah uban penuh di kepala pun masih belum matang lagi. Kita tidak tahu di titik mana dalam kehidupan seorang manusia itu tibanya waktu untuk berubah.
7. Mengapa ada yang berjaya dan ada yang masih gagal hidupnya?
Ini keseimbangan dunia. Pasti sulit jika semua orang menjadi kaya. Ada orang yang perlu menjadi miskin. Ada yang ditakdirkan untuk gagal dalam kehidupan.
Ada pula yang sengaja pilih untuk terjun dalam lubang kehancuran sedangkan pintu kejayaan sudah dibukakan untuknya.
8. Oleh kerana kehidupan sekarang semakin melalaikan dan menghanyutkan, peluang untuk memanjat tangga korporat atau tangga kehidupan yang lebih baik adalah lebih mudah. Yang leka di Tik Tok dan Instagram semakin meningkat.
Hanya usaha lebih sedikit daripada yang biasa dan bersabar. Kumpul pengalaman, asah bakat. insya’Allah berebut syarikat nak tawarkan pekerjaan.
9. Seni berfikir yang hilang Bagi generasi muda yang berjaya menguasai kemahiran berfikir, mereka akan cepat menjumpai jalan kejayaan dalam masa lebih singkat dan kurang bersusah-payah. Banyak wang boleh dijimatkan dan seterusnya guna untuk dibiakkan jika memiliki tool berharga ini iaitu seni berfikir.
10. Objektif kehidupan ialah berjalan menuju kepada Tuhan. Ada banyak jalan menuju kepada Tuhan. Bukan satu jalan sahaja.
Program Peluang Kedua oleh Projek Iqra’
#peluangkedua
#projekiqra
10 Intipati Perbincangan Masa Depan
by
Tags: