Kenangan Hari Raya Masa Kecil-Kecil Dulu

Rasa macam dah tulis kisah ini tapi bila dicari, tak jumpa pula. Mungkin Sherrina plan sahaja nak tulis tapi tidak melakukannya. Ramai rakan-rakan Sherrina tahu yang Sherrina memang anak jati Kuala Lumpur. Ayah Sherrina asal dari Kedah. Mak Sherrina pula dari Gombak. Jadi, hampir kebanyakkan hari raya disambut di Kuala Lumpur. Walaupun kampung di Gombak, silap-silap kampung Sherrina lebih ‘kampung’ daripada ramai kawan-kawan yang pulang ke kampung halaman tetapi kampungnya taman perumahan. Hehehe…malang sekali itu semua kini tinggal kenangan. Sebelum ia luput dari ingatan, eloklah Sherrina coretkan disini untuk tatapan semua khususnya Sherrina sendiri bila dah tua nanti.

Kampung di Gombak. Kalau anda tahu Madrasah Tarbiyyah di Batu 3 suku Gombak, di bawah surau itulah kampung Sherrina. Sebuah rumah asalnya kayu kemudian dinaiktaraf menjadi campuran batu dan kayu. Sebuah rumah dikelilingi oleh padang yang luas dan pohon buah-buahan seperti rambutan, manggis dan jambu air. Rambutan yang ditanam disitu terbaik sebab isinya lekang. Sherrina ingat lagi bila tiba musim rambutan, kami akan mengait turun buah rambutan. Punyalah banyak sampai jemu nak makan, maka akan diikat-ikat dan mak Sherina akan bawa ke pejabatnya untuk dijual. Sekejapan habis!

Di belakang rumah itu adalah sungai Gombak. Sungai yang dah tercemar, hanya jadi tontonan sahaja. Nak mandi? Terima kasih ajelah. Tapi ada yang memancing ikan. Diseberangnya, rumah teman lama MRSM Terendak. Tak sangka kampung dia pula disitu. Sharina Ramli atau lebih dikenali sebagai Nana Tinggi. Apa khabar dia agaknya? Oleh kerana keliling rumah adalah padang yang penuh dengan rumput, maka antara tugas sebelum raya ialah mesin rumput. Fuh letih. Orang lelaki yang akan buat, Sherrina dan yang lain akan kumpul rumput-rumput tu menggunakan pencakar. Dimasukkan dalam kereta tolak dan dibawa ke tepi sungai untuk dibakar.

Sehari sebelum raya. Kami dah berada disana. Rumah itu didiami oleh keluarga pakcik Sherrina. Walaupun rumah kami dan kampung Gombak tu hanya berjarak 15 minit memandu, tetapi pakaian tetap dibungkus dan dibawa ke sana. Tidur disana. Siang hari sebelum hari raya bermula dengan kerja-kerja persiapan memasak. Pakcik Sherrina yang pakar dalam bidang membuat lemang akan memulakan tugas penyediaan memasak lemang. Ingatan Sherrina agak kabur bab ini. Yang Sherrina ingat, kami akan duduk dekat dengan tempat membakar lemang untuk menjaga api.

Dua orang makcik Sherrina yang pakar bab menganyam ketupat akan memulakan operasi menganyam ketupat. Kalau tak silap ada pondok atau pangkin di bawah sebatang pokok besar mengadap pintu dapur. Jadi mereka akan menganyam ketupat, budak-budak akan membantu mengisi beras dalam kelongsong ketupat. Periuk besar akan ditenggekkan diatas api. Guna kayu api. Ketupat akan mula direbus biasanya selepas maghrib.

Kawah besar pula akan ditenggekkan untuk operasi memasak rendang. Ini menu wajib. Kuah kacang pula dimasak di dapur. Lenguh jugak mengacau rendang. Sekawah besar, cukup untuk keluarga kami yang ramai ini makan. Ingat lagi ayam-ayam hidup dibawa pulang. Maka setelah disembelih, kerja kamilah untuk merendam ayam-ayam ini dalam bath tub lama berisi air panas di tepi rumpun tebu. Kemudian, bulu-bulu ayam itu dicabut dengan pantas. Untuk dimasak rendang.

Menjelang petang, kami akan pusing keliling rumah memeriksa pelita yang telah digantung pada tiang-tiang kayu yang dipacak dalam tanah. Sumbunya akan diperiksa, minyak tanah dituang. Menjelang jam 7 malam, pelita-pelita ini akan dipasang. Cukup cantik dan meriah.

Selepas berbuka puasa yang terakhir, kaum ibu akan sibuk dengan perhiasan rumah saat-saat akhir. Menukar sarung kusyen dan langsir. Kemudian selepas Isya’ kami akan sibuk membentang tikar kerana rombongan takbir dari rumah ke rumah akan sampai. Oleh kerana rumah kami itu paling dekat dengan surau, maka kami akan menjadi rumah yang pertama dikunjungi atau rumah yang terakhir.

Ketika rombongan sampai, kaum ibu akan sibuk didapur menyiapkan hidangan makanan. Ingat lagi, ini antara tugasan yang paling meletihkan. Maklumlah siangnya sibuk dengan kerja di luar rumah, malam pula menghidang makanan. Yang paling semua orang akan lari dari tugas ialah mencuci pinggan mangkuk yang akan bertimbun!

Setelah takbir selesai, kanak-kanak akan diberikan duit raya. Mereka akan meneruskan ke rumah lain pula. Anak-anak cukup suka mengikut kumpulan takbir raya sebab poket akan menjadi berat dengan duit raya. Masa dulu duit syiling menjadi pilihan. 50 sen atau seringgit duit emas. Fuh, berat poket dibuatnya.

Kemudian, acara main bunga api dan mercun! Pakcik Sherrina akan menyediakan sekotak besar penuh dengan pelbagai jenis bunga api dan mercun. Mainlah sampai muntah. Pernah sekali dek kerana terlalu banyak bunga api kucing (besi), kami mencucuknya atas padang membentuk ucapan Selamat Hari Raya dan membakarnya serentak. Pagi esoknya, semua dikerah mencabut setiap batang besi bunga api itu kerana takut ada yang terpijak. Ketika kanak-kanak asyik bermain bunga api, orang-orang tua akan duduk lepak di ruang luar rumah melihat sambil berbual.

Hampir tengah malam, semua akan berkumpul dalam rumah untuk menonton program Sampaikan Aidilfitri. Dulu memang itu program tv yang ditunggu-tunggu dimalam raya. Dek kerana ia habis siaran lewat pagi, kami tertidur didepan tv. Biasanya anak-anak akan tidur bersusun di ruang tamu.

Pagi hari raya. Jenuh nak kejut sorang-sorang. Maklumlah, rumah kampung. Sejukkkkkk. Selepas mandi, sebahagian besar akan berjalan kaki ke surau untuk sembahyang raya. Ada yang akan tinggal di rumah menyediakan hidangan pagi raya. Masih ingat lagi, antara acara wajib pagi raya ialah membersihkan simen pintu masuk rumah. Disebabkan banyak ayam di sekeliling rumah, ruang itu akan penuh dengan tahi ayam menjelang pagi raya. Maka makcik Sherrina akan mengerahkan kami membasuh simen itu dengan air. Kadang-kadang kami lari!

Selesai solat hari raya, semua berkumpul di rumah. Memakai baju raya. Acara bersalam-salaman pun bermula dengan background lagu raya dari kaca televisyen. Masa itulah nak memohon ampun dan maaf. Kanak-kanak pula akan diberi duit raya. Biasanya jam 11 pagi sudah ada kunjungan daripada kenalan dan orang kampung. Tak ramai sebab pagi raya pertama biasanya masing-masing dengan keluarga masing-masing di rumah.

Selepas solat Zohor, kami akan pakat-pakat tutup pintu dan tingkap. Hahahaha….apa lagi. Tidurlah! Penat membuat persiapan hari raya semalam, maka biasanya waktu ini memang tiada orang yang datang berkunjung. Barangkali orang pun sudah tahu jadual rasmi kami. Semua akan tidur dan berehat hingga petang. Menjelang jam 6 petang, rutin menghidupkan pelita akan dilakukan. Tingkap-tingkap rumah akan ditutup menjelang maghrib. Tiada makan malam akan dihidangkan kerana semua akan bersiap-siap untuk ke rumah makcik Sherrina yang sulung di Taman Bunga Raya. Acara wajib setiap kali hari raya di hari raya pertama.

Itulah antara kenangan hari raya di kampung yang masih Sherrina ingat. Sayang sekali rumah itu telah pun dirobohkan kerana tanahnya perlu ditambak untuk menjadi tinggi dek kerana selalu menjadi mangsa banjir. Bila hendak dibina semula, tidak tahu pula.

Kini, kami beraya di rumah masing-masing. Masak sendiri dan pagi raya akan berkunjung ke rumah pakcik Sherrina yang kini dah pun berpindah ke taman perumahan di kawasan Gombak. Acara wajib di waktu malam raya pertama masih diteruskan.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan manis untuk diingati dan diceritakan semula sampai bila-bila. Acara hari raya kini lebih santai dan relaks. Untuk tahun ini Sherrina tiada apa perancangan untuk hari raya. Hanya untuk berehat dan membaca buku sambil menonton tv. Mahu ambil peluang ini untuk rehat sepuas-puasnya kerana selepas raya, banyak acara dan kerja akan menanti.

Kepada pembaca blog Sherrina.com, saya ingin memohon ampun dan maaf jika ada sebarang salah laku dan kekhilafan dalam penulisan di blog ini. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *