Nota Di Usia 31

 

Nota ini ditaip dikala aku menyambut usia 31 tahun. Hari ini. Genap 31 tahun menapak diatas bumi ciptaan Allah ini. 14 Julai 2011, genap usiaku 31 tahun. Dimana aku menaip nota ini? Di tepi katil dengan kepala weng dan felong akibat penangan dadah ubat selsema, batuk dan sakit tekak. Demam semenjak Isnin yang lalu. Nak membesar, macam inilah. Hehehehe…

Dalam 3-4 hari ini aktiviti kurang rancak kerana gangguan pada kesihatan ini membolehkan aku duduk sejenak dan berfikir. Apa yang berlaku di antara usia 30 tahun ke 31 tahun. Apa yang telah dicapai dan apa yang telah dipelajari. Banyak yang berlegar difikiran. Memandangkan aku ini seorang yang pelupa (rakan terdekat tahu sangatlah penyakitku ini. Sebab itu aku menulis diari di waktu sekolah dahulu dan kini menulis blog sebagai pencatat perjalanan hidup agar bila aku lupa, ada tempat untukku rujuk kembali), maka aku catatkan di nota ini.

Di antara Julai 2010 membawa ke Julai 2011 ini kukira antara tempoh yang menarik dalam hidup. Penuh suka duka. Jika dirangkumkan semuanya dan dipilih satu judul utama, judul pelajaran paling besar di tempoh itu ialah ‘Ukur Baju Di Badan Sendiri’ dan “Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Sagunya”. Sebelum ini aku selalu terlupa mengukur baju dibadan sendiri. Mengukur kemampuan sebenar diri. Akibatnya, cukup padah. Masalah kewangan menimpa, bermain kejar-kejaran dengan pihak bank. Itu pelajaran paling besar. Tetapi dalam kepahitan itu, banyak ilmu baik yang datang pula. Apabila berhutang, jangan lari. Hadapinya dengan berhemah. Berbincang membawa kebaikan. Alhamdulillah, kini ia beransur pulih dan pening memikirkan beban hutang tu semakin berkurang. Kata kunci disini, Jangan Lari Daripada Masalah. Menyesal? Tentu sekali. Kesilapan percaturan hidup hampir mengundang padah. Tetapi ia menjadi pelajaran berharga dalam hidup. Ia bagaikan tersadung batu dan terjatuh. Kita bangkit semula dan meneruskan langkah. Sambil beringat agar bila berjalan itu berhati-hati agar ia tidak berulang lagi. Kita belajar daripada kesilapan.

Di tempoh ini juga aku ditemukan dengan orang-orang yang hebat yang tak pernah terfikir dalam akalku akan berlaku pada diriku. Di hujung 2011 aku dan temanku bertemu dan menjalin hubungan dengan ikon usahawan wanita negara. Kami menyediakan khidmat media sosial untuk beliau. Diikuti pula kolaborasi dengan seorang penasihat kewangan wanita yang hebat bagi projek yang sama,  Ini membawa kepada pertemuan dan kolaborasi dengan lebih ramai pelanggan daripada pelbagai latarbelakang. Yang terkini ialah seorang pengacara, pelakon dan pengkritik terkenal tanahair.

Dan aku fikirkan, betapa indahnya rencana Tuhan. Tidak diberikan apa yang kuminta dahulu kerana tersedia sesuatu yang lebih baik. Siapa sangka hobi dan kegiatan seharian rupanya boleh menjana wang. Kegilaan dan ketagihan aku dalam dunia teknologi rupanya membuka ruang luas kepada peluang-peluang perniagaan yang tidak pernah terfikir dalam kepala otakku ini. Segala-galanya berlaku dengan pantas. Dalam tempoh usia 30 ke 31 ini.

Kemudian, di sepanjang tempoh setahun ini melihatkan usaha aku berkolaborasi perniagaan dengan temanku, tidak berjaya. Tidak panjang jodoh kami. Tetapi, perpisahan yang terjadi itu cukup manis kenangannya. Kami bersetuju untuk berpisah dengan cara paling baik dan paling harmoni. Usaha yang dijalankan tidak sia-sia. Bila difikirkan, kami masing-masing mahu membesar dan ruang lingkup tumbesaran itu perlu dipecahkan. Maka kami berjabat tangan mengucap selamat maju jaya, melangkah kehadapan membesarkan perniagaan masing-masing. Ia terjadi di bulan Mei 2011. Maka pada Jun 2011 lahirlah Hello Technology Solution.

Dalam aku sibuk menguruskan perniagaan baru ini, kegemaran lamaku tidak aku tinggalkan. Mengajar kanak-kanak. Aku masih menjalankan kelas tuisyen di rumah cuma kini tidak lagi mengambil pelajar baru. Aku kekalkan sahaja dengan 3 rumah yang sama. Semalam ketika aku ke rumah salah seorang anak muridku, aku berkesempatan duduk berbual dengan ibunya sambil diperhatikan oleh anaknya yang berusia 14 tahun itu. Anak ini telah aku didik daripada usianya 10 tahun. Pada ketika itu, tidak tahu membaca…menulis juga merangkak-rangkak. Kini, membaca novel Bahasa Inggeris itu menjadi kegemarannya. Malah dia pula menjadi ‘supplier’ novel berbahasa Inggeris untuk aku pinjam dan baca.

Dalam perbualan itu, si ibu mengatakan dia risau kerana anaknya masih tak nampak hala tuju masa hadapan. Walaupun sudah dipersiapkan sebuah perniagaan untuk anaknya meneruskannya kelak, dia masih gusar. Mendengarkan itu, aku bagaikan teringat kepada diriku sendiri semasa sekolah dahulu. Aku bermati-matian tidak mahu menjadi guru apabila dicadangkan oleh makcik dan pakcikku yang kedua-duanya merupakan pendidik. Aku tidak lihat diriku pada ketika itu sebagai seorang guru. Yang aku tahu semejak pertama kali aku menggunakan komputer di usia 10 tahun mempelajari bahasa LOGO, aku telah setkan didalam kepala apabila dewasa kelak aku mahu bekerja dengan komputer.

Ya benar, di usia dewasa memang aku menjadi gila dengan teknologi. Bukan dengan dekorasi rumah, bukan dengan memasak didapur. Tetapi dengan teknologi. Berikan sahaja aku sebuah komputer, aku boleh duduk mengadapnya berjam-jam lamanya tanpa jemu. Tetapi tanpa aku sedar, didalam dunia teknologi ini rupanya aku berkebolehan menyampaikan ilmu. Bermula sebagai guru komputer selepas tamat pengajian diploma dahulu, kemudian menjadi guru robotik, tenaga pengajar kursus kerajaan, fasilitator kem sains, guru tuisyen di pusat tuisyen milik sepupuku dan kini mengajar tuisyen di rumah-rumah pelajar.

Terkini ialah aku diberi peluang mengajar subjek Facebook dihadapan 15 orang yang tidak aku kenali. Pada mulanya rasa kekok tetapi di akhirnya, aku akui aku sangat seronok menyampaikan ilmu. Tercetus juga di sudut hati..jika aku sampaikan semuanya, habislah perniagaanku. Bisikan syaitan (syaitan jugak dipersalahkan…haha!). Rupanya sangkaanku meleset. Kata orang ‘ When you give more, you will get more’. Daripada penyampaian itu, aku mendapat lebih ramai pelanggan yang mahukan perkhidmatan yang aku tawarkan. Aku reset semula pendirian diri. Tidak mahu lagi lokek ilmu, malah berikan yang terbaik. Insya’ Allah, lebih banyak akan datang kepada kita. Dan aku akur, darah pendidik itu mengalir dalam tubuhku cuma dalam keadaan yang berbeza. Bukan dibilik darjah bertemankan papan putih.

Aku percaya setiap satu antara kita dalam proses mencari legasi diri kita. Kekuatan diri kita. Cuma bezanya cepat atau lambat. Sama seperti anak muridku yang berusia 14 tahun itu. Lagi pula di zaman ini yang serba moden, peluang terbuka amat luas. Cuma menunggu kita untuk mencuba setiap satunya sehinggalah kita bertemu dengan satu yang kita amat sukai dan tidak jemu kita lakukan yang membawa manfaat kepada diri kita ataupun orang lain.

Apa yang hendak aku capai di usia 31 ke usia 32? Puas juga aku fikirkan.

Setelah difikir fikir…aku teringat buku mengenai legasi yang aku baca bulan lalu. Tajuknya The Legacy Effect karya Adam Ginsberg. Ia membuka mata aku. Apa legasi yang hendak aku tinggalkan? Dihitung dan ditimbal minatku dalam bidang teknologi, bakatku dalam bidang penyampaian ilmu. Akhirnya aku memilih. Untuk usia 31 ke 32 tahun ini, aku mahu memandaikan seberapa ramai manusia dalam bidang teknologi khususnya mereka yang masih takut-takut menggunakan teknologi dalam mengembangkan perniagaan. Secara umumnya aku ingin mendidik manusia agar memahami teknologi dalam bahasa paling halus dan paling lembut. Biar seorang tukang kebun tanpa latarbelakang pendidikan yang tinggi sekalipun boleh menggunakan teknologi. Objektif utamanya ialah menggunakan teknologi kearah manfaat dan kebaikan. Setiap diantara kita pasti ada sesuatu didalam diri yang baik dan bermanfaat kepada orang lain.

Aku juga gembira kerana di usia antara 30 ke 31 ini aku menambah bilangan rakan dan kenalan daripada pelbagai latarbelakang. Banyak ilmu dan pengalaman yang dapat kami kongsikan bersama. Semuanya ke arah kebaikan. Yang tak baik itu, kita ketepikan. Dalam tempoh usia singkat ini, terasa rugi jika dihabiskan dengan perkara yang tak bermanfaat sedangkan banyak perkara baik-baik memanggil-manggil kita daripada yang berbayar hinggalah yang percuma.

Doakanlah agar cita-cita aku ini menjadi kenyatan. Kepada teman-teman dan saudara-mara yang menyampaikan ucapan dan doa hari jadi di Facebook, terima kasih. Terima kasih.


Posted

in

by

Tags:

Comments

One response to “Nota Di Usia 31”

  1. ruulp…

    kskuxriua ubwgi bkteocc mpcb yevohqhudrtwhwd…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *