NGO: Dapur Ramadan 2

Sabtu yang lepas kami mengembara melihat daerah-daerah lain di negeri serendah sekebun bunga ini. Dari Geting, Tumpat ke Kota Bharu. Setelah selesai urusan, pemanduan ke Pasir Pekan menuju ke Pasir Mas dan akhirnya tiba di Tanah Merah. Eh, ada tempat nama Slow Machang. Slow? ?

Seronok penjelajahan kali ini kerana setelah sekian lama menghadap persekitaran laut, kami dapat lihat penempatan berasaskan ekonomi perusahaan getah. Nampak dewan sekolah nama Dato’ Seri Vida.

Tujuan ke Tanah Merah tak lain tak bukan untuk menikmati makanan di Dapur Ramadan 2 yang diusahakan oleh Puan Zarina Nawawi. Saya sudah lama mengikuti kerja amal yang dilakukan oleh beliau di FB dan Alhamdulillah kali ini berpeluang bersua muka. Sambil menikmati makanan lazat, dapat bertukar-tukar fikiran.



Saya sering bercerita mengenai apa yang beliau lakukan kepada rakan NGO yang saya temui di KL. Kerja beliau lakukan adalah memfokus kepada peningkatan ekonomi asnaf khususnya ibu-ibu di kampung. Bermula dengan perusahaan membuat ketupat palas frozen, kini berkembang membuka sebuah kedai makan. Dalam masa terdekat, projek pertanian di tanah sebelah kedai makan dan kedai runcit.

Antara banyak-banyak usaha yang beliau lakukan, ada satu perkara cukup saya kagumi iaitu fasiliti pembelian barangan berdasarkan sistem Qardh Al-Hasan. Asnaf-asnaf yang bekerja di perusahaan dibawah jenama Dapur Ramadan selain menerima gaji bagi kerja yang dilakukan, mereka juga berpeluang untuk membeli barangan menggunakan kaedah ini. Tiada interest, tiada riba’.

Antara yang dapat mereka beli berdasarkan keperluan ialah seperti peti ais, basikal, motosikal, kipas dan lain-lain lagi. Pembayaran balik dilakukan menerusi penolakan gaji. Bukan mudah menguruskan hal ini namun boleh dilakukan. Satu kesediaan kena ada ialah bersedia untuk semak kepala dengan pelbagai cabaran. Tapi beliau berjaya lakukan dengan adanya formula yang beliau tetapkan. Genius!

Antara banyak-banyak sektor dalam dunia kebajikan dan sukarela, sektor peningkatan ekonomi bagi saya adalah sesuatu yang tak mudah dilakukan. Ia memerlukan komitmen yang tinggi, ia melelahkan, memakan masa dan tenaga. Tetapi inilah yang mesti dilakukan jika mahu lihat ekonomi dikalangan asnaf bertambah baik.

Seperti yang sering saya ulang-ulang kepada pegawai kerajaan, universiti dan NGO yang mahu bantu asnaf di bahagian peningkatan ekonomi, ada 2 elemen yang mesti diterapkan:

Monitoring dan mentoring.

Beri sahaja tidak mencukupi. Tengok sahaja tidak mencukupi. Mesti monitor dan mentor dengan rapat. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan tetapi masih perlu ada pemantauan berkala dan mengejut. Contoh terbaik yang sedang berlangsung dan boleh dijadikan kajian ialah apa yang Pn Zarina lakukan.

Kepada anda yang tinggal di Tanah Merah dan kawasan sekitarnya, atau yang datang bercuti mahupun bekerja sekejap macam kami di negeri Kelantan ini, datanglah ke Dapur Ramadan 2. Sokonglah usaha ini. Bagi anak Kelantan yang di perantauan, singgahlah sini bila pulang ke kampung. Lebih ramai menyokong usaha ini secara konsisten, lebih kuat dan teguh program ini dapat berlangsung.


Syabas pada Pn Zarina Nawawi yang berusaha mengangkat bukan sahaja ekonomi, malah menambah program ilmu dan mendidik keluarga asnaf disini secara hands-on dalam jangka masa panjang. Syurga buatmu, itulah doa kami dari jauh ini.

#tanahmerah
#kelantan
#kelantanfood
#sukarelawan
#nonprofit

Beli ketupas palas frozen sebagai buah tangan sebelum pulang.
Pulut kuning dan rendang. Sedap!
Mee kuah. Saya beri 5 bintang!

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *