Review Filem: I Am Kalam

Terima kasih Muhamad Hanafi Abu Bakar kerana mencadangkan untuk saya menonton filem I Am Kalam di Netflix. Tak perlu tunggu lama, dalam masa 5 minit pertama sudah cukup untuk mengikat saya duduk didepan skrin menontonnya sehingga habis tidak berganjak walau sekejap pun.
Setelah habis menonton, saya terus rasa teruja. Ceritanya wow sangat! Mind-blowing! Cerita yang bijak memang banyak tetapi cerita yang mempamerkan budak yang bijak, lebih mengujakan. Budak miskin yang bijak? Kaboom!


Kali pertama melihat Chhotu yang dilakonkan oleh Harsh Mayar yang berusia 11 tahun pada ketika itu, terus boleh tangkap. Budak ni bijak! Chhotu ialah kanak-kanak miskin yang tidak bersekolah tetapi sangat suka belajar dan membaca. Keupayaannya untuk menyerap apa sahaja yang dia lihat dan dengar di sekelilingnya menyebabkan dia cukup disenangi oleh pelanggan-pelanggan yang makan di kedai milik pakciknya, Bhati. Bhati membuka kedai makan yang menjadi tumpuan pelancong-pelancong yang datang menginap di hotel milik Raja Rudra, kerabat diraja yang telah menukar sebahagian daripada istananya kepada penginapan untuk pelancong dari luar negara.


Kerana kemiskinan yang terlalu meruncing, emak Chhotu terpaksa menghantarnya tinggal dengan pakciknya itu dan bekerja disitu. Pekerja lama disitu bernama Laptan tidak sukakan Chhotu kerana kepintaran Chhotu disukai oleh tuan kedai dan pelanggan-pelanggan disitu. Teh susu yang dijual disitu merupakan antara produk terbaik dan hanya Pakcik Bhati sahaja yang tahu membuatnya. Dengan hanya sekali tunjuk ajar, Chhotu dapat tangkap resepi dan teknik membuat chai itu sebiji seperti yang dibuat oleh Pakcik Bhati.


Satu malam semasa sedang mengemas kedai, Chhotu menonton ucapan Presiden India iaitu Dr. A.P.J Abdul Kalam yang menyentuh mengenai pendidikan dan kanak-kanak. Ucapan Abdul Kalam sangat memberi inspirasi kepada Chhotu sehingga dia menukar namanya kepada Kalam dan mengubah fesyen rambutnya mengikut rambut presiden.


Salah satu tugas Kalam ialah menghantar teh ke bilik pelanggan-pelanggan hotel di istana Raja Rudra. Disana dia berkenalan dengan anak raja yang sebaya dengannya bernama Putera Ranvijay. Walaupun Putera Ranvijay dilarang bergaul dengan orang bukan setaraf dengannya, dia mencuri-curi berjumpa dan bermain dengan Kalam selepas waktu sekolah. Setiap hari Kalam akan melihat sahaja Ranvijay naik bas ke sekolah kelihatan segak berbaju seragam lengkap dengan tali leher. Suatu hari Putera menghadiahkan sepersalinan pakaian sekolah kepada Kalam sebagai hadiah.


Pelbagai kejadian berlaku sehinggalah kemuncaknya Kalam dituduh mencuri dan dibawa mengadap Raja. Kowtim kowtim baik punya (panjang sangat nak cerita, kena tonton sendiri), emak Kalam ditawarkan bekerja di istana dan Kalam diberikan peluang pergi bersekolah bersama kawan baiknya.
Fakta menarik mengenai Harsh Mayar dan filem ini:

  1. Dia daripada keluarga miskin tinggal di kawasan setinggan di Delhi. Ketika filem ini meletup dan memenangi banyak anugerah, jiran tetangga tak tau apa-apa pun kerana kebanyakan mereka tidak memiliki televisyen.
  2. Bapa saudara Harsh Mayar bekerja di restoran di London. Beliau mengirimkan wang bagi membiaya yuran menyertai bengkel teater semasa cuti sekolah. Hanya itu sekali pendedahan kepada lakonan yang dia dapat. Bakatnya dijumpai oleh direktor filem ini yang ternampak dia bermain di tepi jalan bersama budak-budak lain. Dia ketua kepada kumpulan budak-budak itu. “Kamaal ka Chhotu mil gaya”, kata tuan direktor.
  3. Filem ini diterbitkan oleh Smile Foundation, sebuah NGO yang memperjuangkan pendidikan dan kebajikan kanak-kanak miskin di India.
  4. Harsh Mayar berpeluang berlakon bersama Rani Mukherjee dalam filem Hichki membawa watak pelajar bernama Aatish
  5. Filem ini telah memenangi banyak anugerah bukan sahaja di India malah juga anugerah di peringkat antarabangsa. Harsh Mayar sendiri memenangi anugerah pelakon kanak-kanak terbaik dalam filem ini. Tidak menghairankan, lakonannnya memang genius.

Inilah sebabnya pendidikan itu harus diberikan aksesnya kepada semua tanpa mengira apa pun latar mereka. Kita tidak tahu, mungkin formula penyelesaian kemiskinan secara total ada didalam kepala kanak-kanak yang tidak berpeluang pergi ke sekolah seperti sepatutnya. Hanya menunggu untuk diasah dan dikembangkan.

Kalam bertanya kepada Ranvijay apa cita-citanya. Ranvijay menggeleng. “Belum fikir lagi”. Mahukah kau mendengar cadangan aku?, tanya Kalam. Ranvijay mengangguk.
“Kau binakan sebuah sekolah yang besar supaya budak-budak seperti aku boleh pakai tali leher dan belajar disitu”

“Destiny isn’t written but can be made” – Dr A.P.J Abdul Kalam


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *