JomBaca di SMK Bawong – Rumusan

Program JomBaca di SMK Bawong – Suci, Murni dan Pure.

Sebetulnya selepas selesai menyertai program #jombaca di Pulau Pinang dan Gua Musang pada Disember 2016 dan Februari 2017, saya mahu berehat daripada mengikuti pengembaraan mereka. Mengajar di dua-dua lokasi tersebut benar-benar mengeringkan tenaga saya.

Namun apabila saya tenung semula foto-foto semasa proses saringan di SMK Bawong yang dijalankan pada bulan Januari 2017, cair lagilah hati saya. Macam itulah selalunya. Kata nak berehat, tapi angkat beg juga. Entah kenapa panggilan di Sg Siput kali ini lain macam kuatnya.

27 Mac 2017 hari pertama program JomBaca di sekolah ini. Sekolah yang indah permai ini mengambil masa 30 minit pemanduan dari pekan Sg Siput. Merentasi ladang kelapa sawit dan jalanraya yang cukup cantik. Tidak rasa takut memandu walaupun cuma berselisih dengan lori balak atau motorsikal kerana terpesona dengan pemandangan alam sekeliling.

Saya disini selama 7 hari di minggu pertama dan kedua. Mengikut 6 orang tenaga pengajar JomBaca i-SINA yang lain memanjat tangga 4 tingkat ke perpustakaan sekolah setiap pagi dan tengahari untuk membantu 121 orang pelajar di sekolah menengah berasrama penuh orang asli pertama di Malaysia ini. Pelajar-pelajar ini dari tingkatan 1 hingga 3 yang telah dipilih, disaring dan didapati mengalami masalah pelbagai jenis yang melibatkan kemahiran membaca dan menulis.

Pengalaman minggu awal ini sangat berbeza saya kira dengan di tempat-tempat yang lain. Ini adalah lokasi ke-4 yang team JomBaca jalankan melibatkan anak-anak orang asli selepas di Batu 12 Gombak, Kg Sg Buah dan Gua Musang. Lebih lagi amat jauh beza pengalamannya dengan di Gua Musang yang mana pelajar orang asli disana bercampur dengan pelajar bangsa lain dalam satu sekolah yang sama.
Hal yang pertama kami perasan disini ialah bebas. Pelajar-pelajar disini bebas menjadi diri mereka sendiri. Anak orang asli yang sejati. Apa maksud tu?

Kalau di Gua Musang, kami terpana melihat pelajar-pelajar perempuan yang datang ke kelas dengan sisipan begitu banyak klip rambut di kepala mereka. Agar rambut rapi dan tidak kembang. Sehinggakan di minggu akhir, kami menjadikan klip rambut sebagai salah satu hadiah yang diberikan kepada pelajar. Tersenyum lebar mereka menerima klip rambut baru. Di Sg Siput ini mereka tidak pula berusaha merapikan rambut sebegitu rupa kerana semuanya orang-orang mereka. Tiada yang akan mengejek rupa mereka.

Hal yang kedua yang cukup menarik dalam pemerhatian saya ialah disiplin didalam kelas. Barangkali inilah kelas pertama JomBaca yang saya benar santai dan tenang. Maksudnya, panggil sahaja nama pelajar dan pasti ia terus datang. Tidak ada guru yang perlu menegangkan urat leher memanggil dan memujuk pelajar untuk datang ke meja guru untuk sesi pemulihan yang dijalankan secara one-to-one ataupun perlu tempelak untuk suruh mereka duduk siapkan modul. Selepas siap modul, dengan senang hati mereka akan datang meminta kertas mewarna dan kotak pensel warna daripada Cikgu Zai Zulkifli yang sentiasa siap sedia dengan stok kertas mewarna pelbagai corak menarik.

Hal yang ketiga selepas begitu lelah berkejaran di tiga buah sekolah di Gua Musang, disini kami tidak perlu menyelesaikan isu pelajar antara kaum. Ejek mengejek si polan busuk atau si polan namanya buruk. Baru saya faham kenapa pelajar #kelasrakyat di Batu 12 beritahu saya yang bapanya ingin benar dia masuk ke sekolah itu sungguhpun sangat jauh dari rumah. Oleh kerana di sekolah ini 100% orang asli, masalah yang saya lihat semasa di Gua Musang tidak berlaku disini. Bernafaslah kami dengan lega. Namun ia tidak bermakna isu ini hilang begitu sahaja. Lalu perlu difikirkan bagaimana mengharmonikan pelajar-pelajar sekolah antara berlainan kaum agar menerima seadanya.

Hal yang keempat ialah anak orang asli juga seperi anak kaum lain. Boleh diajar dan mahu belajar. Hal ini menjadi topik yang sering saya bincangkan dengan tenaga pengajar JomBaca dek kerana beberapa kali mendengar sendiri keluhan guru betapa susahnya mengajar anak orang asli. Selepas melalui pengalaman mengajar di dua lokasi yang berbeza, konklusi umum saya ialah anak orang asli sama sahaja seperti anak kaum apa pun. Cumanya kita fahami mereka ataupun tidak. Itu memerlukan bukaan minda untuk mengenali latar hidup mereka disamping menyelami kelebihan serta kekurangan yang mereka miliki. Lalu bekerja di lingkungan maklumat tersebut.

Di minggu akhir sebaik sahaja kaki menjejakkan kaki di bumi Malaysia setelah berkelana ke negara matahari terbit hampir seminggu, saya sudah tidak sabar-sabar hendak membungkus kain baju untuk kembali semula ke Sg Siput. Minggu terakhir di SMK Bawong takkan saya lepaskan kerana saya mahu lihat perkembangan mereka dan mengajar walaupun cuma tinggal beberapa hari. Disamping menyampaikan semua sumbangan barangan kebersihan diri yang telah dikumpulkan sejak minggu kedua.

Ahhh….betul seperti yang difikirkan. Proses pemulihan mereka berjalan dengan baik sekali. Ketika saya melangkah masuk ke makmal Sains yang menjadi lokasi kelas kerana perpustakaan sedang disusunatur, saya melihat deretan pelajar yang tenggelam didalam suratkhabar dan majalah. Buku-buku cerita bersepah diatas meja. Allahu… tak terkata indahnya pemandangan itu. Terus saya ambil kad pelajar yang perlu saya ajar dan saya panggil seorang demi seorang. Cantik…memang cantik.

Semasa makan malam bersama Pengetua Tuan Anuar Suhada dan beberapa orang guru, saya dan pengurus besar JomBaca iSINA memberikan satu konklusi mengenai pelajar-pelajar mereka:
“Anak-anak murid cikgu ini suci murni. Pure. Belum dicemar dek unsur luaran. Berbahagialah cikgu-cikgu kerana diberi peluang mengajar mereka ini”

Mengapa saya katakan demikian? Kami begitu tenang mengajar disana. Kenakalan mereka nakal yang biasa biasa. Belum ada kejahatan menular di sekolah itu setakat yang saya lihat. Buktinya? Lihat sahaja bangunan sekolah. Masih utuh seperti baru semalam dibina walhal sudah hampir setahun digunakan Tidak kelihatan vandalisma di sekolah itu. Antara petanda kecil yang saya perhati selama saya disana.
Tinggal lagi tugas guru-guru dan masyarakat mencorakkan kain yang putih murni ini. Apakah corak yang bakal terlukis diatasnya? Akan kita lihat hasilnya 10 tahun dari sekarang.

Sebelum pulang ke KL sempat saya buat saringan Matematik dan English dikalangan pelajar-pelajar ini. Seperti dijangka, memang tercicir semuanya. Moga-moga ada jalan untuk membantu mereka dengan sistem Kelas Rakyat nanti kerana saya tak sabar nak ke sana semula berjumpa dengan pelajar-pelajar ini. Mereka berpotensi seperti pelajar di tempat lain


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *