Lawatan Ke KidZania Bersama Pelajar Program JomBaca Kg Orang Asli Batu 12 Gombak

Lawatan Ke KidZania Bersama Pelajar Program JomBaca Kg Orang Asli Batu 12 Gombak

Untuk kali ketiga Sherrina membantu menguruskan lawatan pelajar-pelajar yang telah tamat mengikuti program JomBaca dengan jayanya ke KidZania Kuala Lumpur sebagai hadiah diatas kejayaan mereka mengikuti program JomBaca selama 20 hari. Program JomBaca ialah program pemulihan membaca dan menulis bagi pelajar-pelajar berumur 7 tahun hingga dewasa yang belum lancar membaca dan menulis. Kali pertama Sherrina bantu aturkan lawatan ke KidZania ialah pada tahun 2014 untuk program JomBaca di PPR Seri Cempaka. Kali kedua pada awal tahun ini untuk pelajar-pelajar program JomBaca di PPR Kerinchi.

Kali ini masa untuk menguruskannya agak pendek iaitu seminggu lebih sahaja. Untuk memaklumkan kepada KidZania, untuk confirm bas, kumpul sumbangan dan lain-lain lagi namun Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Malah disaat akhir Sherrina dihubungi oleh seorang pegawai daripada Themed Attractions Resorts & Hotels menyatakan hasrat TARH untuk menaja kesemua tiket masuk ke KidZania. Alhamdulillah, terus kempen tajaan ditutup. Duit yang sempat dikumpul digunakan untuk menyewa 2 buah bas, membayar pakej makan tengahari dan kerana kali ini ada lebihan maka ia digunakan untuk membeli foto dan cenderahati KidZania yang sebelum ini tak dibuat kerana faktor bajet. Kali ini pelajar seronok kerana bukan sahaja berpeluang masuk ke KidZania, malah pulang dengan foto bercetak sebagai kenangan.

Pelajar dipecahkan kepada 2 kumpulan supaya senang nak kira bila naik bas
Pelajar dipecahkan kepada 2 kumpulan supaya senang nak kira bila naik bas

Pada 10 September 2016 yang lalu berkumpullah kesemua 60 pelajar termasuk 3 orang pengiring yang terdiri daripada Sherrina, Cikgu Nor Aziah Mohd Hassan dan sukarelawan Nur Aimuni yang datang dari Kajang untuk membantu. Pagi tersebut cuaca agak baik. Selepas mengagih sarapan berupa air mineral dan roti, kami berkumpul di perkarangan Hospital Orang Asli Gombak. Kali ini bas lewat satu jam kerana tersekat dalam kesesakan trafik. Maklumlah, warga kota berpusu-pusu pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidiladha dan cuti sekolah. Jalan Gombak adalah salah satu jalan alternatif yang menjadi pilihan bila Lebuhraya Karak sesak. Tepai jam 10 pagi, bas tiba. Seronok bukan main kerana dapat naik bas.

jombaca-batu-12-gombak-19

jombaca-batu-12-gombak-20
Pakat nak berkumpul didepan sebab hairan tengok cikgu tunjuk arah jalan kepada pemandu menggunakan peta di handphone 😀

Ketika bas bergerak ke KidZania, Alhamdulillah perjalanan lancar kerana kami melawan arus trafik sesak. Pelajar-pelajar riang sambil melihat luar tingkap. Ada yang menyanyi, ada yang berbual. Terdengar perbualan beberapa pelajar memberitahu kawasan yang mereka tahu. Sekolah mereka di Gombak Utara, Batu 6, Taman Greenwood, Highway DUKE. Bila lepas aje tol DUKE ke Jalan Duta, mereka senyap. Mungkin kerana tak biasa keluar sejauh itu hingga ada pelajar bertanya bila bas memasuki tol Bukit Kiara, “Kita kat mana ni, cikgu?”

Satu soalan yang sering ditanya ialah dimana Bukit Lanjan. Mungkin mereka ada saudara-mara yang tinggal disana agaknya kerana di Bukit Lanjan juga ada kampung orang asli. Sambil memerhati bangunan tersergam indah di sekitar Damansara Perdana, mereka juga asyik membaca papan tanda. Maklumlah, sekarang sudah pandai membaca. Setiap papan tanda mereka cuba baca.

Ada pelajar yang tak biasa menaiki kenderaan muntah didalam bas. Kelam kabut lah cikgu mencari plastik. Kelihatan seorang pelajar mengurut kawannya yang baru muntah.
Ada pelajar yang tak biasa menaiki kenderaan muntah didalam bas. Kelam kabut lah cikgu mencari plastik. Kelihatan seorang pelajar mengurut kawannya yang baru muntah.

Sampai je di KidZania, kami disambut oleh petugas yang ramah dan tahu bagaimana nak uruskan rombongan pelajar. Mereka sangat professional dan berhemah. Selepas mengumpulkan pelajar, mereka dibawa menaiki eskalator ke ruang atas dimana pelajar akan diberikan tag yang akan dipakai di pergelangan tangan. Petugas KidZania malah mengajar mereka bagaimana hendak naik eskalator iaitu dengan berdiri di sebelah kanan dan mengingatkan pelajar supaya memperkemaskan ikatan tali kasut supaya tidak terjatuh. Inilah antara sebab Sherrina suka anjurkan lawatan ke KidZania kerana mereka sangat terlatih dan keselamatan di KidZania juga ketat. Pelajar tidak akan boleh meninggalkan kawasan permainan tanpa pengetahuan pengiring.

Selepas itu, tiap pelajar diberi cek matawang KidZania dan dibawa ke bank CIMB untuk tunaikan cek bagi mendapatkan wang. Di KidZania, ia seperti sebuah negara dimana kanak-kanak adalah rakyat dan pentadbir manakala orang dewasa adalah pekerja. Mereka boleh bekerja untuk mendapatkan lebih banyak wang atau membelanjakan wang. Nama matawang di KidZania ialah Kidzos. Mereka juga diajar cara menyebut hai didalam bahasa KidZania dan terima kasih. Seperti lawatan-lawatan sebelum ini, Sherrina sering khuatir pelajar akan sukar adaptasi di taman KidZania ini kerana rata-rata menggunakan Bahasa Inggeris dan beberapa permainan memerlukan pelajar berinteraksi dengan penyelia ataupun pelajar lain. Pada mulanya sahaja mereka akan kekok tetapi lama kelamaan mereka akan boleh bermain dengan sendiri. Biasanya selepas makan tengahari, Sherrina akan mula berehat di lounge yang disediakan untuk ibu bapa berehat. Tapi untuk lawatan kali ini Sherrina terpaksa membantu Cikgu Aziah dan sukarelawan Aimuni kerana pelajar-pelajar ini sangat malu untuk bermain dan tidak sabar untuk menunggu giliran.

Ruang menunggu untuk kerjaya ahli bomba
Ruang menunggu untuk kerjaya ahli bomba

Selepas makan tengahari di KidZania iaitu burger ayam dan air mineral, Sherrina bawa sekumpulan pelajar lebih kecil ke balai bomba untuk beratur menunggu giliran. Hampir 30 minit mereka menunggu dengan sabar untuk mendapatkan sticker giliran. Pekerjaan sebagai ahli bomba mengambil masa 20 minit setiap sesi dan 8 orang ahli bomba sahaja akan bertugas pada satu sesi. Jadi dengan sabar kami menunggu hinggalah jam 2.10PM dimana pengambilan ahli bomba sesi petang dibuka. Seronok bukan main bila mereka mendapat giliran.

Ahli bomba sesi pertama selepas jam 2 petang.
Ahli bomba sesi pertama selepas jam 2 petang.
Kira duit sementara tunggu giliran bertugas di stesen bomba
Kira duit sementara tunggu giliran bertugas di stesen bomba
Foto kenangan salah seorang pelajar yang sedang gigih memadamkan api :D
Foto kenangan salah seorang pelajar yang sedang gigih memadamkan api 😀

 

Bagi yang gilirannya selepas jam 2, ada yang mengambil kesempatan bekerja di klinik gigi yang terletak berhadapan balai bomba. Dua pelajar ini sangat membanggakan kami kerana akhirnya mereka berani untuk mencuba kerjaya sebagai doktor gigi. Ketika ditanya apa yang instructor tu cakap, mereka gelak kecil sahaja. “Kadang-kadang tak faham sebab dia cakap bahasa Inggeris”

jombaca-batu-12-gombak-7

jombaca-batu-12-gombak-6

jombaca-batu-12-gombak-5

Sebetulnya trip KidZania kali ini sangat memenatkan bagi Sherrina. Sudahlah Sherrina mengusung laptop kononnya nak buat kerja pejabat di lounge sementara mereka bermain. Tetapi tak dapat kerana perlu bantu mereka sesuaikan diri di KidZania ini. Namun apabila tamat waktu bermain jam 4 petang, bila dikenang kembali Sherrina rasa bangga dengan para pelajar ini. Pada mulanya mereka amat malu nak cuba bermain dan sekadar berlegar-legar memerhatikan setiap permainan tetapi lama kelamaan mereka memberanikan diri. Bukan sahaja perlu berinteraksi dengan petugas KidZania tetapi juga dengan kanak-kanak lain yang bermain di KidZania juga. Jika dilihat mereka yang bekerja di bank CIMB dan Poslaju yang menuntut mereka berkomunikasi dengan beberapa premis untuk urusan penghantaran wang, pengambilan wang atau menghantar bungkusan poslaju. Mereka perlu mencari premis seperti yang tercatat pada kertas (kini mereka sudah boleh mambaca maka mereka dapat bermain dengan lebih baik) mengatakan hai kepada petugas. Menyatakan apa yang mereka mahu. Menyerahkan barangan dan mendapatkan tandatangan. Ia mungkin sangat mudah bagi kebanyakan kanak-kanak lain yang biasa tetapi bagi pelajar-pelajar ini, ia sesuatu yang membanggakan. Mereka berjaya melawan perasaan malu dan segan untuk memenuhi tugasan yang diberikan.

Sekali imbas semasa Sherrina berpusing sekeliling KidZania untuk memantau pelajar, mereka sedaya upaya mencuba seberapa banyak kerjaya yang ada. Polis, jurusolek, pasaraya, stesen minyak, tol, juruterbang dan lain-lain lagi. Malah ketika Sherrina sedang kumpulkan pelajar untuk pulang, rupanya ada sebahagian pelajar membuat persembahan lagu patriotik di pentas dibimbing oleh staff KidZania disaksikan oleh orang ramai yang membanjiri KidZania. Mereka mendapat tepukan gemuruh!

jombaca-batu-12-gombak-17

jombaca-batu-12-gombak-15

 

Jam 4.30 petang, kesemua 60 pelajar telah selamat dibawa naik ke dua buah bas yang sama untuk pulang ke Gombak. Perjalanan kali ini mengambil masa 2 jam kerana jalan sesak teruk. Hujan turun rintik-rintik ketika sampai di perkarangan hospital. Kelihatan beberapa orang ibu menunggu kepulangan anak kesayangan. Para pelajar berkumpul di perkarangan parkir berbumbung hospital untuk mengambil bungkusan nasi ayam kerana mereka memang akan lapar selepas penat bermain. Juga diagihkan foto mereka yang telah dicetak dan cenderahati berupa pouch alatulis KidZania.

jombaca-batu-12-gombak-13

 

Nak tau apa ayat terakhir yang diucapkan oleh salah seorang pelajar sebelum kami meninggalkan kampung tersebut? Sambil kereta yang kami naiki bergerak perlahan dengan tingkap kereta diturunkan, seorang pelajar mengekori perlahan sambil bertanya…..

“Cikgu, bila lagi ada kelas tuisyen?”

Itulah satu soalan indah yang meleraikan segala keletihan. Doakan rancangan membuka Kelas Rakyat disini dapat dimakbulkan kelak.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada TARH kerana menaja tiket masuk KidZania untuk semua pelajar dan pengiring. Jutaan terima kasih kepada orang ramai yang menaja program ini. Tidak dilupakan Pn Lizah Ali dan En Latifi yang menguruskan sebelum pelajar bergerak ke KidZania dan ketika pelajar tiba. Semoga kenangan dan pengalaman indah ini akan membuka minda para pelajar anak-anak orang asli ini bahawa mereka juga mempunyai peluang yang sama seperti kanak-kanak dan remaja lain untuk mengecap apa sahaja impian dan cita-cita mereka.

jombaca-batu-12-gombak-23

THE END.
#jombaca
#dariBatu12keKidzania

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *