Book Review: Annyeong 안녕 From The Other Side

Book Review: Annyeong 안녕 From The Other Side

Annyeong 안녕 From The Other Side

Buku Annyeong 안녕 From The Other Side ini adalah karya saudara Saeed Owairan. Sherrina mengenalinya melalui ANSARA Terendak. Beliau merupakan bekas pelajar MRSM Terendak batch SPM 2010. Kami tidak pernah berjumpa di maktab kerana ketika dia menduduki SPM, Sherrina sudahpun bekerja. Alumni menemukan kami dan melalui Facebook, Sherrina mendapat tahu beliau menghasilkan sebuah buku mengenai pengalamannya menuntut ilmu di Korea Selatan.

Sudah sekian lama Sherrina tidak bergelumang dengan buku. Sesekali sahaja dapat mencuri waktu memenuhi tuntutan hobi paling digemari ini diantara celah sibuk kerja seharian. Atau lebih banyak sibuknya bersembang di media sosial agaknya.

Semalam ketika masuk ke pejabat, naskah ini berada di atas meja. Buku yang ditempah sudah pun tiba. Terus Sherrina membuka plastik pembungkus Poslaju dan membeleknya. Buku terbitan sendiri. Sendiri tulis, sendiri cetak. Ini sesuatu yang menjadi trend masa kini. Sesuatu yang tak pernah Sherrina fikirkan ketika berada di usia beliau. Zaman sekarang, sesiapa pun boleh menulis dan mencetak. Jual sendiri. Promote sendiri.

Sinopsis dan tajuk-tajuk bab didalam buku ini boleh dibaca di blog beliau iaitu di https://notasaeed.com/buku-annyeong-%EC%95%88%EB%85%95-from-the-other-side/

Sherrina berjaya menyudahkan pembacaannya dalam masa kurang 12 jam. Punya hari yang agak lapang dan waktu bersendirian untuk mengadap naskah ini. Mula membacanya cukup sukar untuk meletakkannya. Tidak pernah ke Korea, tidak berminat dengan muzik Korea, kurang menonton filem Korea kecuali Running Man yang asyiknya juga sesekali dilayan.

Annyeong 안녕 From The Other Side

Menyelusuri kehidupan beliau di Korea melalui kacamata penulisannya. Seakan berada disana. Sungguhpun ini buku yang pertama, penulisan beliau agak bagus juga. Ada sedikit kesalahan tatabahasa disini dan disana, namun tidak mencacatkan mesej yang nak disampaikan. Antara yang menjadi kegemaran Sherrina ialah membaca Fakta Menarik Korea. Beberapa fakta yang dikongsikan di celah-celah buku ini sangat menarik kerana Sherrina tidak pernah tahu mengenainya hingga terpaksa Google mengenai fakta tersebut untuk membacanya dengan lebih lanjut. Antara fakta yang menarik ialah Internet Explorer masih digunakan secara meluas di Korea Selatan. Kenapa? Kenalah baca untuk tahu lebih lanjut.

Menarik mengetahui mengenai penerimaan penuntut beragama Islam oleh penduduk tempatan disana. Bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian. Mencari ruang-ruang untuk bersolat. Hal sejarah dan budaya Korea juga diceritakan dengan baik. Naskah yang baik untuk dibaca oleh mereka yang baru tamat SPM dan bercita-cita untuk menyambung pelajaran di luar negara.

Secara keseluruhan, Annyeong 안녕 From The Other Side adalah sebuah buku yang bagus dan sangat bermanfaat. Mencetus minat untuk mengetahui lebih banyak mengenai negara dan budaya Korea Selatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *