Movie Review: Suami Aku Ustaz

Movie Review: Suami Aku Ustaz

Ketika Sherrina menerima jemputan untuk menghadiri tayangan perdana filem Suami Aku Ustaz pada hari Selasa yang lalu, Sherrina terdiam sebentar. Alamak…ini filem apa pula ni? Adik beradik dengan cerita Suami Sotong ke? Dahlah lemah dengan kebanyakan drama tempatan ni. Tapi dah member ajak dan tiket pula free siap dapat makan lagi, pergi jugalah.

Suami Aku Ustaz

 Tayangan perdana filem Suami Aku Ustaz ini diadakan di Cathay Cineplex di e-Curve. Memang antara lokasi kegemaran Sherrina sebab shopping mall ni tak sibuk sangat dan parking mudah. Sementara menunggu giliran masuk pawagam, jenguk juga ke bawah kot nampak kelibat pelakon. Tapi tak nampak sebab mereka dah dikerumuni oleh wartawan dan blogger agaknya. Hampir jam 9, Sherrina pun masuk ke pawagam no 10. Seat pulak elok seat tepi. Nyaman.

Suami Aku Ustaz 1

Filem Suami Aku Ustaz ini diterbitkan oleh Karya Seni Productions dan arahan oleh Ghaz Abu Bakar. Khabarnya ini filem sulung mereka. Antara pelakon yang menjayakan filem ini ialah Adi Putra sebagai Ustaz Hafiz, Nora Danish sebagai Alisa, Izzue Islam sebagai Johari. Filem ini mengisahkan Alisa yang berusia 17 tahun dikahwinkan dengan sepupunya yang juga merupakan ustaz di sekolahnya. Perkahwinan itu mereka rahsiakan daripada pengetahuan umum.


Suami Aku Ustaz 2

Secara jujurnya, Sherrina menarik nafas lega selepas selesai menonton filem ini. Ia tidaklah seteruk yang Sherrina sangka. Malah bagus untuk ditonton. Amat jarang sekali kita dapat lihat filem tempatan di pawagam tidak ada adegan yang tidak selari dengan Islam. Banyak juga adegan lucu seperti watak Alisa yang masih kebudak-budakkan walaupun sudah bergelar isteri dan Ustaz Hafiz yang kelihatan terlalu tua untuk Alisa sebelum dia mengubah strategi. Satu filem yang bagus untuk diteladani dan dipelajari oleh para suami yang mempunyai isteri yang masih belum mahu ikut syariat Islam. Bagaimana beliau berdiplomasi dengan Alisa dan perlahan-lahan mengajak dan mengajar menjadi isteri yang baik. Adegan lucu didalam filem ini tidak keterlaluan. Tidak ada lawak yang pelakonnya ketawa terbahak-bahak atau adegan memalukan orang lain. Ada sahaja ilmu dan tarbiah yang disampaikan secara halus di setiap babak. Misalnya bagaimana Ustaz Hafiz menegur seorang guru perempuan yang berpakaian seksi. Disampaikan teguran itu dengan baik tanpa memalukan guru perempuan itu.

 

Suami Aku Ustaz 3

Bagi Sherrina, filem Suami Aku Ustaz ini hampir memenuhi syarat syariah compliance (setakat ilmu cetek yang Sherrina tahu). Tiada adegan peluk atau pegang yang tidak sepatutnya. Tidak ada pelakon yang pakaian mendedahkan aurat melampaui batasan. Sekiranya semua pelakon didalam filem ini menurut aurat sepanjang filem ini, perfect score! Apa pun tahniah kepada Karya Seni Production dan semoga lebih banyak filem yang baik-baik seperti ini dapat dihasilkan di masa hadapan.

 

Suami Aku Ustaz 4

 

Jangan lupa menontonnya di pawagam mulai 14 Mei ini. Selain menikmati jalan cerita, boleh nikmati keindahan alam yang disajikan didalam filem ini. Walaupun Sherrina bersekolah di Melaka selama 2 tahun, Sherrina tak tahu pun di Melaka ada kawasan sawah padi yang berdekatan dengan laut. Sungguh cantik lokasi yang dipilih. Saksikan trailer filem ini di bawah.

1 Comment


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *