Jika Boleh Diputarkan Masa, Mahukah Kembali Ke Masa Lalu?

kids playing at the beach Sherrina berpeluang ke pantai Morib baru-baru ini bersama dengan teman sekeluarga membawa 4 orang anaknya bermain di pantai. Ketika itulah tercetus di hati….jika boleh diputarkan masa, mahukah kembali ke zaman kanak-kanak?

Zaman kanak-kanak Sherrina memang indah. Pergi ke sekolah bukan hanya untuk belajar, tetapi juga untuk bermain. Juga makan di kantin bersama kawan-kawan. Waktu rehat main sep tiang atau kejar-kejar di padang. Lepas sekolah, membeli sate ikan dan berjalan kaki pulang ke rumah atau naik basikal singgah beli aiskrim Malaysia di kedai mamak Sulaiman.

Cuti sekolah pula samada bercuti di pantai Port Dickson atau duduk di rumah. Tonton rancangan Alam Ria Cuti Sekolah, baca koleksi Dewan Pelajar yang dijilid edisi 10 tahun, main cikgu-cikgu atau buat sendiri acara Double Dare. Jika berani, panjat pagar gi rumah jiran main Nintendo. Kami hanya punya komputer di tahun 1992 hadiah peperiksaan UPSR. Video game, pemain VCD mahupun DVD? Sampai la ni takde dalam rumah.

Bila bercuti di Port Dickson walaupun tiap-tiap tahun ke sana, sememangnya ditunggu-tunggu. Main pasir, bina istana pasir, mandi manda hingga legam, naik kenu hingga ke tebing tepi laut atau berjalan masuk ke hutan paya. Cukup menyeronokkan.

Begitu juga di sekolah menengah dan alam universiti. Penuh dengan pelbagai acara. Bila difikirkan kembali, setiap fasa kehidupan itu dilalui dengan penuh kesungguhan. Belajar sungguh-sungguh, main pun sungguh-sungguh. Puas hati.

Mahu ulang kembali? Nah, tidak mahu. Sudah melakukannya dengan sepenuh hati. Kini mahu menikmati fasa dewasa pula dengan bersungguh-sungguh 🙂


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *