Review Buku: A Street Cat Named Bob

A Street Cat Called Bob

a street cat named bob
Kredit Foto: http://felinerambles.blogspot.com

Sherrina mula-mula mengetahui mengenai kewujudan buku ini semasa sedang membelek-belek buku di kedai buku Popular di Tesco Ampang. Tidak pernah melihat promosi buku ini, cover buku ini terus menarik minat Sherrina untuk membaca sinopsisnya. Tapi oleh kerana tak cukup wang ketika itu, Sherrina cuma ambil gambar buku itu untuk mencarinya kemudian hari.

Masa berlalu, Sherrina pun terlupa akan buku ini hinggalah ternampak buku ini di web. Alamak, lupa nak beli! Kebetulan Jumaat lepas makan di KLCC, terus ke Kinokuniya. Susah juga mencarinya sebab ia disusun di ruangan hobi yang letak di hujung kedai. Bila jumpa, tinggal satu aje rupanya.

Dua hari sahaja diambil untuk menghabiskan buku ini. Buku ini bisa mengundang air mata. Bukan sahaja kepada si Bob, tetapi lebih kepada si James, tuan Bob.

Secara keseluruhannya, penumpuan emosi lebih kepada James berbanding Bob. Bob adalah pengubat kesedihan. Kisah telatah Bob mencetuskan ketawa tetapi yang dilalui James amat menyedihkan. Anak kecil yang kurang kasih sayang akibat ibu bapa yang bercerai, hidup hilang arah tuju, bergelandangan, terperangkap dengan dadah dan akhirnya bertemu dengan Bob, si kucing oren yang mengubah hidupnya sedikit demi sedikit.

Apa yang menarik mengenai perjalanan cerita ini ialah pengkisahan sikap-sikap manusia terhadapnya si gelandangan penagih dadah. Pandangan mereka, cemuhan mereka, ketidakpedulian mereka tentang kewujudan makhluk Tuhan ini. Sungguh menyentuh perasaan.

Wajar dibaca jika anda sukakan kucing dan suka mengetahui sisi hidup manusia di jalanan. Satu keinsafan juga membuka mata buat aku yang aktif dengan kerja persatuan.

5 bintang untuk buku ini, A Street Cat Called Bob!

a street cat called bob
Kredit Foto: www.dailymail.co.uk

A Street Cat Called Bob

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.