Day 2: Himpunan Usahawan Mikro, Kecil Dan Sederhana Jom Niaga SME Corp

Memandangkan hari semalam adalah sangat susah mendapatkan parking, maka Sherrina bernekad untuk keluar rumah lebih awal demi mendapatkan parking yang lebih sempurna. Pulang dari event semalam, terus mandi dan menggoreng cendawan dengan Tepung Magik untuk dijadikan sample pada hari kedua. Oh besar sungguh dugaan menggoreng cendawan dengan Tepung Magik ni sebab asyik gatal tangan mahu ambil satu dan masukkan ke mulut.

Jam 1 pagi selesai menggoreng, Sherrina pack semua barang dan tidur. Set jam untuk bangun pukul 5 pagi. Pada jam 5 pagi, Sherrina bangun dan mandi. Setelah bersiap, mengemas barang dan segalanya, Sherrina bertolak dari rumah jam 6.30 pagi. Alhamdulillah, jalan clear dan Sherrina tiba di Karangkraf Shah Alam jam 7 pagi. Menjangkakan sudah banyak kereta peniaga parking, bila tiba kosong pula. Sherrina rasa pelik. Eh, hari ni takde meniaga ke? Atau Sherrina salah informasi? Sherrina terus ke depan pagar Ultimate Printing dan parking di korner depan pagar. Kira paling depan dan awal lah. Tak lama kemudian sebuah kereta parking di belakang.

Sherrina memunggah barang dan menolak troli ke gerai. Sunyi sepi seperti tiada apa. Simpan barang di gerai, Sherrina mengambil kesempatan untuk meronda melihat semua booth sebab semalamnya tak sempat langsung. Setelah puas berjalan, jam baru 8 pagi. Masih lengang. Perut berkeroncong. Gerai makanan belum buka. Duduk di gerai yang gelap dan panas kerana generator belum dipasang, Sherrina hidupkan laptop dan mula membaca eBook Teknik FBO 1: Teknik FBAds Optimization yang telah Sherrina beli tapi belum sempat baca. Habis separuh buku, idea sudah ligat dikepala. Mulakan Adobe Photoshop dan design imej iklan baru berdasarkan ilmu yang baru disedut daripada eBook tersebut. Siap 4 design.

Sherrina matikan laptop dan berjalan keluar sebab sudah terlalu panas. Suasana masih sunyi tapi sudah nampak kelibat petugas. Tukang sapu juga baru menyapu sampah. Tak pula Sherrina jenguk tandas bergerak yang disediakan tu. Sherrina rasa mesti tak dibersihkan. Pengalaman pertama kali guna tandas bergerak…mengerikan. Tandasnya kecil, mampat dan bergoyang-goyang. Tiada air pula tu. Terpaksa bawa air botol sendiri. Hari kedua baru Sherrina tahu daripada kak Zamara yang ada tandas lebih manusiawi disediakan dalam kafeteria Karangkraf. Hari pertama 3 kali melawat tandas bergerak, terasa sungguh sengsara.

Tak tahan panas, Sherrina ke gerai makanan. Peniaga makanan baru membancuh makanan dan menggoreng. Sherrina beli air tembikai dan bebola ketam. Cukuplah buat mengalas perut. Ketika itu ternampak ada gerai Burger Bakar Kaw-Kaw rupanya. Sudah jam 9 pagi, generator masih belum dihidupkan. Melampau sungguh! Terpaksa lepak di khemah utama yang sudah ada kuasa elektrik untuk mendapatkan angin kipas. 15 minit kemudian baru nampak kipas berputar di khemah niaga.

Sherrina ke booth dan mula menyusun barang. Membancuh Cheezy dan menunggu pelanggan. Gerai didepan lambat buka. Gerai dikiri dan kanan lagi best. Tak buka langsung. Hanya datang hari pertama. Jualan hambar. Tak datang lagi dah.

Mujur Sherrina bawa laptop. Sambil menunggu pelanggan, sambil menyiapkan kerja. Sesekali lalu orang yang singgah mahu merasa cendawan goreng dicelup dengan Cheezy. Pelajar sekolah yang ramai datang menyertai pertandingan disini mendekati gerai Sherrina dan bersarapan dengan cendawan goreng. Makanlah dik. Banyak lagi dalam periuk.

Jualan pada hari kedua ini lebih memberangsangkan untuk Cheezy Powder. Tak kurang 50 bungkus terjual. Sambil menjual, memperkenalkan produk kepada pengunjung dan sambil menyiapkan kerja di laptop. Suriya tiba lewat sedikit kerana ke KLIA dahulu menghantar ayahnya mengerjakan umrah. Menjelang tengahari keadaan mendapatkan parking kembali kronik seperti hari pertama kerana Suriya pun terpaksa pusing berkali-kali sebelum dapat parking. Jualan minuman kurang memberangsangkan pada hari kedua ini. Kami bergilir-gilir berjalan ke gerai lain untuk membeli minuman dan makanan. Kegemaran Sherrina ialah ice blended lori Fama.

Menjelang jam 12pm, semakin ramai pengunjung kerana waktu rehat lebih panjang. Ramai pelanggan yang datang membeli di gerai Sherrina adalah kakitangan Karangkraf sendiri. Menjelang jam 2pm, hujan mulai turun. Hujan semakin lebat disertai angin. Kelihatan scallop merah menghiasi khemah besar yang memayungi booth-booth peniaga terbuai-buai dek angin dan hujan lebat. Kelihatan air hujan memasuki khemah di tepi. Abang di gerai depan yang menjual kasut wanita dan barangan make-up tak menyedarinya hingga kami memberitahu kepadanya. Kelam-kabut dia menolak kasut-kasut. Hujan makin lebat dan makin banyak tempias memasuki gerai di kawasan tepi. Kakak di gerai rempah sebelahnya mula mengalihkan barang-barangnya termasuklah dapur elektrik.

Tak lama kemudian kelihatan air bertakung naik ke lantai gerai. Kami terkejut kerana air naik dengan cepat. Segera kami ke gerai abang itu yang berniaga seorang untuk mengangkat meja dan barangnya. Mujur barang2nya disimpan dalam plastik tapi plastik sudah dibasahi air bertakung. Mujurlah gerai di sebelah kami itu tak datang berniaga. Kami punggah barangnya dan meja jualannya ke gerai kosong itu.

Sherrina berjalan ke gerai kak Noni dan kak Hamidah untuk melihat jika perlu bantuan. Beliau dah mula angkat barangnya ke hadapan. Sherrina ke gerai kak Zamara. Anak-anak buahnya bertungkus-lumus menolak rak-rak tudung keluar dan mengangkat kotak-kotak barangan supaya tak dibasahi air. Sherrina pun membantu sama menolak rak mereka.

Sherrina kembali ke gerai dan kami sama-sama lihat air naik semakin banyak. Memang kasihan sungguh kepada peniaga yang dapat ruang di tepi khemah. Bagai berniaga dalam banir. Sherrina ke booth kak Zamara semula dan lihat ini terjadi:

Banjir Jom Niaga SME Corp

 Perghhh! Terbaik dari ladang lah. Dahlah macam-macam masalah. Sales tak memberangsangkan. Booth jadi camni pula bila hujan lebat. Oh ya, ini tak teruk sangat pun. Takleh lawan booth sebelah kak Zamara yang satu dindingnya terus hilang rebah ke bumi! Hebat SME Corp punya event nih. Jabatan menjaga peniaga tapi tak tahu keperluan peniaga. Atau syarikat swasta yang dapat kontrak buat event ini kecilkan bajet untuk besarkan keuntungan? Hahahaha biar SME Corp yang jawab.

Banjir Jom Niaga SME Corp

Tak lama kemudian nampak 2-3 orang petugas terkocoh-kocoh datang membaiki keadaan.

Banjir Jom Niaga SME Corp


 Aktiviti berniaga kembali seperti sediakala. Menjelang jam 4 petang sudah kelihatan peniaga mengemas barang. Kami masih bertahan kerana mahu menunggu pelawat yang pulang dari kerja. Di lewat petang masih ada yang datang membeli. Tapi jam 4.30 petang lampu dan kipas sudah dimatikan. Wah, hidupkan elektrik sudahlah lambat. Bila matikan, sangat efisyen. Kedengaran bunyi kerja membuka booth di belakang kami. Kami pun mulalah mengemas. Sambil mengemas, melayan jualan-jualan terakhir. Ingatkan nak stay sampai malam sebab nak balik pun jalan jem. Tapi kami terpaksa keluar jugalah sebelum booth kami pun ditanggalkan juga. Kali ini kami membawa kereta masuk ke dalam untuk menyenangkan proses mengangkat barang.

Jam 6 petang kami bergerak keluar. Sebelum keluar, seorang peniaga mengingatkan kami supaya tidak melalui kawasan Bukit Jalil kerana sesak teruk diserbu ribuan kereta dan bas dari seluruh negara yang menghadiri Perhimpunan Umno. Aduhai…itu pun jadi satu sebab mengapa pengunjung kurang. Mereka awal lagi sudah berhimpun disana. Sudahlah hari himpunan jatuh pada hari bekerja, hari terakhir jatuh pada hari sambutan 66 tahun UMNO pula tu. Gagal sungguh SME Corp ini dalam memilih tarikh.

Kesimpulannya event ini terlalu banyak kelemahan. Antaranya:

  1. Lokasi tak strategik. Di kawasan sekelilingnya kilang tanpa parking yang mencukupi. Kiraan logik sudahlah. Jika ada 200+ booth dibuka untuk peniaga, dengan minima sebuah kenderaan bagi setiap booth. Kurang-kurang kena ada 200 tapak parking untuk menampung peniaga sahaja. Soalnya, berapa banyak booth yang datang cuma dengan 1 kenderaan? Jangan ceritalah pasal parking untuk pelawat.
  2. Pemilihan hari. Khamis dan Jumaat. Hari bekerja. Jumaat itu pula hari Sambutan Ulangtahun UMNO ke 66 menghimpunkan puluhan ribu orang di stadium Bukit Jalil. Tentulah tiada mereka di Shah Alam itu.
  3. Tiada promosi. Bunting hanya di sekitar Karangkraf sahaja. Ramai rakan-rakan di Shah Alam tak tahu menahu pun pasal program ini.
  4. Kondisi khemah. Panas. Sempit. Terlalu banyak booth dibawah satu khemah. Terlalu sikit kipas. Suasana panas dan tak selesa bukan sahaja kepada peniaga malah kepada pengunjung
  5. Kurang crowd. Bermaksud kurang sales.
  6. Tiada pengawasan trafik yang terancang. Polis, Rela dan petugas berpakaian merah kelihatan kucar-kacir. Yang dipentingkan adalah laluan utama dikosongkan untuk ketibaan Perdana Menteri.

Setelah kira hasil jualan, cukup-cukup sahaja pulang modal, untung sedikit cover kos minyak, barangan, masa dan tenaga. Kalau tak, lagi panas hati dibuatnya. Sempat pula organizer event itu menawarkan Sherrina peluang untuk buka booth di event nya akan datang. Mahu sahaja Sherrina buka mulut dan hampurkan kata-kata ‘manis’ kepadanya tapi tak terluah. Event ini pun hancur, mahu offer booth berbayar ribuan ringgit pula. Hah!

Apa pun ia jadi satu pengalaman dan pengajaran buat kami yang baru berjinak dalam arena berniaga di ekspo.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *