Day 1: Himpunan Usahawan Mikro, Kecil Dan Sederhana Jom Niaga SME Corp

 

expo-sme

Pada 10 Mei dan 11 Mei 2012, Sherrina dan teman-teman seperniagaan berkhemah di perkarangan Karangkraf Shah Alam bagi menjayakan program Jom Niaga: Himpunan Usahawan Mikro, Kecik dan Sederhana anjuran SME Corp. Sherrina ditawarkan booth oleh rakan beberapa hari sebelum program. Pada mulanya agak gusar untuk menerima pelawaan walaupun tanpa bayaran setelah peristiwa dikecewakan berniaga di Taman Tasik Permaisuri anjuran Kelab Komuniti Tekun Bandar Tun Razak yang sangat mengecewakan dan merugikan. Tapi atas dorongan rakan-rakan seperniagaan, Sherrina sahut jugalah cabaran. Kali ini geng berniaga iaitu Mas dan Awin tak dapat join kerana Mas akan ke tanah suci mengerjakan umrah pada hari Jumaat manakala Awin pula bekerja.

Sherrina team-up dengan Suriya, adik Mas. Adiknya peniaga sepenuh masa. Berniaga burger dan air tin. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk menjual air tin, Tepung Magik dan Cheezy Powder. Kebetulan pula stok jualan semasa program Kelab Komuniti TEKUN tu masih banyak berbaki.

Malam sebelum program hari pertama, Sherrina menyiapkan segala barangan termasuklah menggoreng ubi kentang dengan Tepung Magik untuk dijadikan sample dimakan bersama Cheezy Powder. Pagi hari Khamis, Sherrina tiba di rumah Suriya jam 8 pagi dan kami bergerak bersama ke Karangkraf Shah Alam. Memandangkan hari kerja, jalan jem dan kami tiba disana jam 10 pagi. Semasa dalam perjalanan, Sherrina beberapa kali berhubung dengan Anja Juliah Blucotton yang telah tiba lebih awal untuk bertanyakan kondisi. Beliau memberi respon negatif dengan masalah parking yang sangat kronik.

 

Tiba di sana jalan depan Karangkraf sudah jem. Sherrina sudah berpeluh cemas khuatir takde parking. Berpusing di lorong tepi showroom Toyota dan terus ke belakang. Nampak satu ruang tepi jalan di tepi pintu masuk sebuah kilang. Dah letak kereta tapi dihalau pergi oleh guard kilang. Nampak beberapa guard kilang berdekatan bertugas tepi jalan menghalang orang ramai parking disitu. Ah sudah nampak kronik ni. Sherrina buat pusingan semula di lorong tepi sungai. Kereta bergerak perlahan, Sherrina bertanya kepada polis dan petugas berpakaian merah dimana nak parking. Mereka pun tak tahu dan suruh jalan. Sherrina minta nak parking di tepi jalan, polis tak kasi. Katanya PM nak datang. Oh….ya. Rakyat Didulukan.

Berpusing 3 kali, akhirnya Sherrina nekad untuk parking diatas jalanraya di korner antara Karangkraf dan Toyota. Oleh kerana Sherrina menghalang kereta yang memanjat divider di kiri jalan, Sherrina letakkan no telefon pada kedua-dua buah kereta tersebut dan sekeping lagi atas dashboard kereta Sherrina. Suriya masih berpusing mencari parking. Sherrina memunggah turun barang. 1 kotak Cheezy Powder seberat 4kg dan sekotak Tepung Magik seberat lebih 16kg. Mujur tergerak dihati nak pinjam troli rakan serumah. Kotak diikat pada troli dan ditolak ke pagar Ultimate Printing yang terletak dalam kawasan Karangkraf. Polis trafik menjaga simpang. Sherrina menyapa mereka dan bertanya adakah kereta Sherrina akan disaman. Mereka kata kalau satu baris boleh lagi. Jika sudah double lane, itu akan disaman dan ditarik. Sherrina berserah ajelah. Itu lebih baik dari parking nun dihujung sana yang beratus meter jauhnya.

Sambil menolak troli perlahan, Sherrina melihat peniaga yang mengusung barang jualan berat. Ada yang tolak dengan troli, ada yang pegang dengan tangan. Ternampak seorang pakcik tua yang terkial-kial menolak troli penuh berisi barang berjalan jauh entah dari mana. Kesian.

Sampai di khemah, Sherrina turunkan barang. Suriya menelefon katanya masih belum dapat parking tetap. Dia parking kejap depan pagar utama Karangkraf untuk turunkan barang. Sherrina ke sana dan menyusun berkotak minuman tin dan bekas ais ditolak dengan troli uzur. Beberapa kali nyaris tertonggeng bila troli enggan melangkah atas wayar-wayar tebal yang berselirat disana sini sekitar tapak pesta, ada seorang pemuda berpakaian rasmi Celcom X-Pax menolong Sherrina hingga ke khemah. Mahu diberi wang upah, ditolaknya. Moga Allah balas jasanya.

Suriya akhirnya dapat parking diatas divider jalan. Dan membawa barangan selebihnya. Kami berpeluh bagaikan baru mandi. Syukur Alhamdulillah khemah kami betul-betul dibawah kipas. Sedikit lega walaupun bahang panas masih terasa. Setelah menyusun barang, memasang bunting dan segalanya….kerja jualan bermula.

Jualan amat perlahan walaupun diberi pengunjung sample untuk dicuba. Adalah jualan sepeket dua setiap setengah jam. Macam mana nak jual, nak nampak pembeli pun susah. Yang lalu lalang kalau tak peniaga lain, petugas program. Apa nak dipelikkan. Jika peniaga pun susah nak parking, masakan mahu pelanggan nak datang dengan parking yang hampir impossible. Kali kedua Sherrina ke kereta mahu ambil stok air tin, terlihat kon-kon yang dilekatkan notis kereta-kereta yang telah ditarik. Kasihan. Entah jualan dapat tampung denda tarik kereta, entah tidak.

Sambil duduk di gerai, terdengar lah ucapan dan segala macam program dari pentas utama. Masa menolak troli, berselisih dengan Dato’ Yusof Haslam. Dari jauh terdengar suara beliau berkongsi pengalaman berniaga. Kata rakan niaga sebelah, tak ramai orang pun yang duduk di khemah utama mendengar perkongsian beliau. Yelah, nak harap peniaga….siapa pula nak jaga gerai. Nak harap pelanggan, Sherrina rasa ramai je yang dah lalu. Berpusing cari parking. Tak dapat. Jalan terus pulang ke rumah atau pejabat semula. Kalau Sherrina pengunjung pun, Sherrina buat yang sama.

Pukul 3pm gitu terdengar pengumuman PM dah sampai. Ketika lagu Negaraku berkumandang, semua peniaga di gerai masing2 berdiri depan gerai sama-sama menyanyikan. Wah rasa bersemangat! Kemudian urusan kembali seperti biasa. Terdengar sayup-sayup suara PM mengumumkan dana perniagaan berjumlah RM500 juta.

Menjelang petang, adalah jualan berlaku. Tapi masih perlahan di gear 2. Menjelang lepas Maghrib, kelihatan orang ramai datang untuk menghadiri Ceramah Perdana di khemah utama. Jam 9.30 malam, kami berkemas pulang. Dah takde pembeli meskipun masih awal lagi. Peniaga lain ramai dah awal-awal lagi pulang.

 

Bersambung pula di hari kedua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *