Coretan di Majlis Terima Kasih Cikgu

Akhirnya, 16 Mei 2011 yang ditunggu-tunggu telah tiba dan telah berlalu. Berjaya? Gagal? Itu terpulang kepada intepretasi masing-masing. Bagi aku, ianya satu kejayaan besar. Kerja gila menguruskan majlis sebegini besar dengan bajet yang ciput dan tenaga kerja berapa kerat sahaja. Tapi bak kata Wonderpets, ‘Apa yang penting…kerjasama’. Majlis bermula dan berakhir dengan selamat. Dibawah ini adalah rentetan peristiwa mengikut apa yang aku ingati dan aku rasai untuk aku kenang selamanya.

Mesyuarat di MRSM Terendak dengan wakil Kelab Guru merupakan langkah pertama. Pada mulanya hendak diadakan di Melaka tetapi Ansara Terendak membawakannya ke Kuala Lumpur. Ini kerana kesemua AJK berada di KL dan lebih mudah koordinasi di sini. Dari satu mesyuarat membawa ke satu mesyuarat. Panggilan telefon. SMS. Puluhan email setiap hari. Itulah medium perhubungan kami dalam proses menyusun perjalanan majlis.

Sukar menguruskan majlis dalam keadaan aku sendiri terpaksa menguruskan kerja. Mana nak kejar cari customer, promote bisnes dll. Bulan April banyak dihabiskan dengan menyiapkan kerja client seterusnya launching Facebook Page beliau, Dr Rozieta Shaary di Facebook Page Family Guru. Dalam masa sama, menguruskan client sedia ada dan melayan pertanyaan2 daripada usahawan yang berminat nak miliki Facebook Page. Oh, 24 jam sememangnya tidak mencukupi.

Mujurlah ada pasukan yang kami gelarkan The Dream Team. Aku labelkan pasukan ini pasukan ‘Gila’. Bukan gila pada otaknya tapi gila sebab boleh menguruskan satu program sebegini besar. Juga berterima kasih kerana ramai rakan di luar sana turut membantu. Mencari pembeli tiket, mencari guru yang tak dapat dihubungi, mencari penaja dan sebagainya. Ada juga keadaan aku rasa tertekan kerana cakap-cakap melihat majlis ini sehebat Jubli Perak 2008. Oh, kalaulah mereka tahu nisbah waktu dan tenaga antara Jubli Perak dgn Terima Kasih Cikgu ini jauh berbeza bagai langit dan bumi. Mana mungkin dapat diulang kembali detik waktu itu. Itu satu moment yang berbeza. Yang hanya wujud pada tarikh keramat itu. Oh beza…sungguh berbeza.

Dalam minggu2 terakhir, aku melipatgandakan usaha membantu sahabat yang lain yang jauh berganda2 usaha mereka. Mujur ada mereka. Mujur juga ketua lantai (floor manager) iaitu Mulan mempunyai pejabat dan kakitangan sendiri. Dia lebih lincah bergerak kerana dibahunya terletak tanggungjawab besar iaitu lokasi kejadian Terima Kasih Cikgu.

Fast forward ke 16 Mei 2011. Hari Isnin. Aku bangun lewat. Ya…teruk kan. Malam sebelumnya aku tidur jam 2 pagi. Percubaan menyiapkan slide presentation yang mengandungi ucapan daripada Terendakian di luar negara sia-sia kerana laptop aku enggan bekerjasama. Mahu sahaja aku humbankan ke kolam renang di bawah tu. Paginya selepas menggosok baju (yang akhirnya terpaksa digosok semula di hotel kerana basah ditimpa hujan dan renyuk disumbat didalam beg utk mengelakkannya drpd lencun), aku ke kedai fotostat. Satu jam disitu menggunakan komputer yang disediakan memasukkan kesemua audio rakaman suara. Mencetak dan fotostat lirik lagu yang hendak dinyanyikan di pentas malam itu. Kemudian aku ke Giant Ulu Klang. Bateri handphone yang aku beli tu tak muat masuk ke handphone. Terpaksa ditukar. Muka budak kedai tu acuh tak acuh. Mau sahaja aku sumbatkan bateri itu ke mulutnya. sekelumit maaf pun tidak tertutur dari mulutnya.

Kebuluran. Belum sarapan dan dah masuk waktu lunch. Di food court mencari nasi. Teh ais segelas RM1.70! Cekik darah! Mencuci tangan di singki, seseorang menegur aku. Rupanya kawan ibu. Berbual dengannya. Dia mahukan khidmat membuat Facebook. Alhamdulillah…satu lagi rezeki tak disangka. Selepas berbual, aku bergerak ke PWTC. Sampai disana, petugas PWTC sedang menyusun meja dan hiasan. Aku seorang sahaja, kak Julia dan Mulan masih menari di pejabat membungkus hadiah. Sorry korang, tak tolong korang.

Aku segera capai kerusi plastik dan duduk di tepi pentas. Bermejakan bucu pentas, aku hidupkan laptop. Mengemaskini Facebook Ansara Terendak dan memeriksa email. Memulakan kerja menyudahkan slide presentation. Susun dan ubah itu ini. Save. Datang idea baru. Buka New Presentation. Insert foto-foto guru yang di scan daripada kesemua majalah Fajar dan Terendak. Susun satu persatu dalam slide. Macam tak kena. Insert WordArt. Masukkan teks dibawah setiap foto. Apa saja idea yang tiba, aku curahkan. Siap. Save.

Firdau Fauzi SPM 2009 tiba di dewan. Bual-bual kosong. Abg Zammel dan Shimi pula tiba. Bual-bual mengenai dekorasi dewan. Is dan abg Johoe pula tiba. Tinggalkan laptop untuk bantu angkat barang. Nuqman, anak sulung Is pun ada. Dia lincah membantu memasukkan barang untuk cabutan bertuah ke dalam beg biru. Terima kasih, Nuqman! Selesai hal itu, Mulan dan Kak Julia pun tiba. Di luar sibuk dengan kerja saat akhir. Membalut hadiah yang tak habis dibalut, memasang BAT yang dicetak bersaiz A3 untuk paparan Terendakian di papan khas di luar dewan dan memasang bunting-bunting rumah sukan Mansur, Mahmud, Alauddin dan Muzaffar. Ya, tema majlis ialah berdasarkan warna rumah sukan. Mansur itu rumah kuning. Mahmud itu rumah biru. Alauddin itu rumah sukan aku…warnanya hijau. Muzaffar pula rumah merah. Tema pakaian ikut warna rumah sukan.

Aku kembali ke dalam dewan. Jumpa dengan orang audio visual. Berbincang mengenai cara untuk bekerja malam nanti. Aku akan jaga slide presentation dan lagu-lagu yang telah disusun. Dia akan jaga karaoke dan lagu2 latar ketika majlis. Berbincang dengan abg visual. Dia mahukan skrin paparan semasa tiada siaran daripada laptop ataupun live feed. Buka PowerPoint. Design seringkas mungkin. Save sebagai jpg. Kene burn dlm cd!  Mujur Mulan ada bawa ext dvd burner. Burn dlm dvd…gagal! 3 keping dvd kosong terbakar begitu sahaja. Burn dlm cd…sukses. Minta maaf lah kpd abg visual tu kerana terpaksa duduk disebelah aku mendengar aku memaki hamun dan mencarut laptop yang masih degil tak beri kerjasama.

Sesi testing kesemua bahan audio dan visual. Kemudian percubaan full rehearsal Shimi dan Kak Julia dgn bantuan Kak Oya. Jam 6.30pm, aku dan Kak Julia berlari ke Hotel Legend. Hujan renyai. Habis baju aku jadi sejuk. Terpaksa gosok semula. Jam 7.40pm kami turun ke lobi. Konon nak jalan kaki. Mujur kak Intansue(SPM 95) ada. Menumpang kereta Muttaqin (SPM 2007), anak sedara kak Intansue.

Ketika berjalan ke dewan, terjumpa Shema Afifi. Sembang ringkas, aku masuk ke dewan. Di luar dewan sudah penuh dengan orang. Yang mana satu murid, yang mana satu guru…aku lihat sepintas lalu. Tak dapat beza. Kecuali guru yang aku kenali. Anak murid dah ramai yang lebih tua daripada guru yang ada di maktab. Bila bercampur gaul sudah tak terbeza. Masing-masing hiruk pikuk berbual dan bertanya khabar. Ya, ini bukan sahaja majlis meraikan guru tetapi juga reunion bagi murid.

Aku testing sekali lagi kesemua slideshow dan lagu. Cikgu Ruhila datang membawa dvd filem yang mereka rakamkan sempena Hari Guru. Testing di pemain visual, tak jalan. Kene berharapkan ext dvd player ni ajelah. Harap2 tak sangkut. Kedengaran suara emcee memanggil tetamu masuk ke dewan. Macam biasa, bukan mudah. Mereka dah mula berbual di luar, susah nak ajak ke dalam. haha…itulah dia Terendakian. Emcee memulakan majlis. Doa dibaca oleh abg Fakran. Sepatutnya diiringi dengan lagu latar Haddad Alwi yang menyayat hati. Tapi entah bagaimana, lagu tu enggan bermain di laptop aku. Damn! Kak Julia berlari mendapatkan aku. Ingat aku lupa. Tak…aku tak lupa. Tapi laptop ni yang lupa daratan! Suku doa dibaca, baru ia berkumandang. Jadilah….daripada takde langsung.

Ucapan Dato’ Razali selaku Presiden Ansara Terendak. Aku suka ucapannya pada malam itu. Diikuti dengan ucapan Pengetua MRSM Terendak yang baru iaitu Cikgu Noor Hassan. Inilah kali pertama melihat pengetua baru. Sempoi dan lucu orangnya. Bersahaja dan mesra. Selepas itu Kak Oya (SPM 87) naik ke pentas mendendangkan sebuah lagu. Diikuti oleh cabutan bertuah. Entah betul ke tidak aturcara ini, aku pun dah lost track. Duduk di belakang layar, hanya berpandukan apa yang live feed paparkan aje.

Kak Jowana (SPM 88) mendeklamasikan sajak bertajuk Guru oleh karya Usman Awang. Aku suka sajak itu. Lagu latar drpd filem Winter Sonata. Menyentuh hati.

Kemudian, ucapan daripada bekas pelajar di seberang laut. Thanks to Kamarul, Shima, Fazrul Fuad, Duen, Anas, kak Rosemaliza, abg Snoopy dan abg Ahmad Helmi kerana kirimkan bahan. Oh ya, sebaik sahaja majlis bermula para hadirin dah mula dijemput makan. Sambil makan, sambil berhibur. Dah katanya tema majlis santai. Sambil makan, sambil berjalan, sambil menonton acara di pentas. Apa yang berlaku di luar dewan pada ketika itu, aku pun tak tahu.

Selepas ucapan dari luar negara, siaran filem yang dilakonkan oleh cikgu-cikgu MRSM Terendak. Hantu Kak Limah Balik Terendak. Serius lucu. Aku yang tonton di ruang visual pun gelak sakan. Sangat berbakat cikgu-cikgu ni. Selepas itu Zaitie (SPM 97) plak mengambil pentas mendendangkan sebuah lagu. Nyaring suaranya melantun ke seluruh dewan. Sementara itu, aku mengambil kesempatan meninggalkan kubu untuk mencari makanan. Dalam ketika itu, sempat bertegur sapa dengan Terendakian yang lain. Antara acara lain selepas itu ialah nyanyian oleh Pengetua Noor Hassan. Oh ya lupa. Selain tugas menjaga audio visual, aku dengan bantuan Mastot (SPM 2004) bertungkus-lumus di belakang skrin pentas menyiapkan hadiah yang ditaja oleh kak Shazlien. Beliau tiba lewat kerana kesesakan lalu lintas. Menarilah kami berdua di belakang itu menyusun coklat didalam sangkar emas. Habis aku pecahkan kotak2 coklat kerana geram ada kotak yang enggan beri kerjasama. Ada ketika aku berlari semula ke kubu, Mastot seoranglah yang berulang-alik dari belakang skrin ke meja tepi pentas menyusun hadiah itu.

Jam 10 malam, semua guru dan bekas guru dijemput naik ke pentas untuk menyampaikan persembahan. Mereka menyanyikan lagu tema Hari Guru. Lucu juga melihat cikgu memanggil cikgu yang pura-pura berbual dibawah, menyorok dan sebagainya. Ada yang terpaksa dipanggil berkali-kali baru naik ke pentas. Itu belum lagi cikgu yang tak habis-habis dikerumuni anak murid, terpaksa menaiki pentas. Alang2 mereka berkumpul untuk menyanyi, Firdaus Fauzi dan Terendakian lain ambil kesempatan mengabadikan foto mereka. Bukan senang nak kumpulkan semuanya atas satu pentas! Selesai itu, mereka turun ke bawah. Sesi memanggil anak murid pula naik ke pentas. Hoh…bukan mudah. Sekali dua kali panggil. Takde yang naik. Pak Chad kelihatan standby di tepi emcee. Mengulang kembali kenangan Jubli Perak. Hahaha…

Akhirnya semua dapat dikumpulkan. Semua ke….tak pasti. Tapi penuhlah pentas itu dengan Terendakian. Mengadap wajah-wajah cikgu dibawah sana. Diberikan lirik lagu sekeping kertas seorang. Lagu Josh Groban bertajuk You Raise Me Up berkumandang. Sambil itu slide foto-foto guru bermain di skrin. Masing-masing menyanyikan dengan bersemangat. Sampai rangkap chorus, semua diminta turun. Aku dan Mastot standby di bawah pentas. Menghulurkan sangkar emas dan bunga untuk mereka hadiahkan kepada cikgu-cikgu dibawah sana. Setiap guru mesti mendapatnya. Tapi ada guru yang tak dapat especially guru-guru baru. Abg Mantoi membawa sedulang hadiah mencari guru yang belum menerima. Is pun sama. Memeriksa seluruh dewan. Memastikan semua guru mendapatnya.

Selesai itu, bermakna tugas aku pun selesai. Aku meninggalkan kubu mencari cikgu-cikgu. Puan Ainan, Madam Rudy. Sempat bergambar dengan Cikgu Zalilah dengan bantuan kamera Fay. Bergambar dengan Fay. Dua itulah foto yang aku ada. Sekeping lagi ialah foto beramai-ramai dengan AJK di luar dewan. Sempat berbual dengan batchmate yang hadir: Azza, Sha, Ozie, Spock. Nampak Pesol dari jauh tapi tak sempat tegur. Sempat berpelukan dengan kak Nina Bahador dan berbual. Hai hai dan bye bye dengan beberapa Terendakian lain yang dikenali dan tak dikenali.

Aku keluar. Di luar dewan rupanya Zuraida Sarin(SPM 98) dan Nazri (SPM 2004) sedang rancak menjaga meja jualan. Aku join mereka. Lelongkan saja barang2 Jubli Perak. Seringgit untuk topi, mug atau buku silver. Lima ringgit untuk t-shirt lama. T-shirt baru kekal RM30. Sekejapan jualan habis. Qaisy pun datang membantu. Dia ditugaskan mencari duit kecil. Berjaya. Syabas, Qaisy! Hadirin mula meninggalkan dewan. Cikgu-cikgu yang pulang terus ke maktab menaiki bas jam 11 malam. Sempat mereka memborong di kaunter jualan. Tak sedar apa yang berlaku dalam dewan. Rupanya sesi fotografi. Ahhh…aku terlepas. Pak Chad karaoke. Aku hanya tahu bila melihat gambar. Mujur juga ada rakaman video. Dapatlah tonton moment-moment yang tak dapat aku lihat ketika bertugas.

Sedar sedar, dewan dah kosong. Yang tinggal hanya AJK dan beberapa org Terendakian lain. Kemas-kemas meja. Kira-kira jualan. Sambil cerita-cerita. Abg Johoe beri ucapan penutup buat semua AJK. Sukses. Itu sahaja yang aku tahu. Bawa barang ke kereta. Pandu kereta ke parking Hotel Legend bersama kak Intansue dan Is. Naik ke bilik hotel. Aku menginap dengan Zaitie dan Mastot. Mastot tak sampai lagi sebab ambil kereta di Sg Besi. Perut lapar. Tapi McD tak buka 24 jam di The Mall. Mandi. Bancuh teh panas. Letak gula. Kacau dengan bontot pensel sebab takde sudu. Minum sambil tengok tv dan bersembang dengan Zaitie. Mastot pun sampai. Aku tarik selimut dan check twitter. Konon nak live tweet mengenai majlis. Hampeh. Haha….tidur.

Celik mata, dah jam 8.30 pagi. Perut minta diisi. Mandi. Siap. Kemas barang. Check out. Simpan barang di kereta. Gerak ke McD dengan Zaitie. Makan sambil sembang. Layan gambar yang diambil malam tadi oleh Firdaus Fauzi. Abg Johoe ngan kak Ros join kejap. Mereka semua gerak ke destinas masing-masing. Aku check FB sementara masih ada sisa bateri. Turun ke foodcourt tapau lunch. Balik kondo. Makan. Tido sampai petang.

Kesimpulannya, penat memang penat. Pedih telinga memang pedih telinga semasa liku-liku proses pengurusan majlis. Tapi kalau korang berada di tempat aku pada ketika majlis itu. Berjabat tangan dengan cikgu. Berpelukan dengan cikgu. Usik-mengusik, senda gurau. Hai hai hello hello dengan Terendakian drpd SPM 87 hingga 2009. Ramai yang aku kenal, juga ramai yang mereka kenal aku tapi aku tak kenal mereka sbb mereka cam nama aku drpd Facebook. Melihat batch-batch yang selama ini missing in action tetiba merempuh majlis dengan gerombolan besar penuh gelak ketawa. Melihat cikgu-cikgu menjadi superstar pada malam itu. Ditarik ke sini untuk bergambar, ditarik kesana untuk berbual. Dikeremuni murid yang jauh lebih besar dan lebih tinggi daripada mereka. Kelip-kelip flash daripada kamera tak henti-henti. Cerita-cerita kenangan semasa sekolah yang dah didengari berulangkali tapi tak jemu diceritakan kembali. Jumpa dgn kawan yang kali terakhir aku jumpa ialah semasa peperiksaan SPM (Nafi Ghazali) yang tiba-tiba muncul di majlis. Mendengar ucapan terima kasih. Membaca ucapan di Facebook. Itu semua priceless. Tiada neraca di dunia ini yang dapat menimbangnya. Tiada penyukat yang dapat mengukurnya.Hanya dengan mengalaminya sahaja dapat merasainya.

Terima kasih kepada semua…..ya semua….semua sekali lah. Kita jumpa lagi dalam acara seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *