Post ID: 29

ini adalah antara artikel menarik yg sempat sherrina baca di Mingguan Malaysia bertarikh 20 Julai 2003. Mungkin pahit tetapi benar…..

Komited kepada tugas, jaga maruah diri dan pasukan – Polis jangan biar rakyat meluat

SEJAK dahulu lagi, tiada yang mempersoalkan permintaan bagi menambahkan jumlah keanggotaan dalam pasukan polis.

Semua pihak menyedari kepentingan mereka bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Lebih-lebih lagi apabila rakyat – yang jumlahnya terus meningkat – sentiasa pula menuntut hak kehidupan yang selamat.

Persoalan umum lebih banyak tertumpu kepada tahap keberkesanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia dibangkitkan apabila PDRM dilihat kurang berupaya menghalang peningkatan jenayah dan mengesan kemunculan ancaman baru terhadap keamanan negara. Ini termasuklah kumpulan pelampau dan pengganas yang menakutkan orang ramai.

Setiap kali persepsi dan imej negatif `menyerang’, soal keberkesanan akan dikaitkan dengan masalah kekurangan anggota dalam menghadapi tugas kepolisan yang semakin mencabar.

Namun pendedahan bahawa berlakunya pembaziran tenaga dalam polis apabila separuh daripada 85,000 anggota pasukan itu diberi tugas bukan kepolisan termasuk kerja-kerja pejabat baru-baru ini, mencetuskan persoalan baru.

Bagi bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar, penyusunan anggota dengan nisbah merugikan itu terjadi berikutan kurangnya kesedaran untuk menurunkan lebih ramai polis terlatih sedia ada untuk tugas kepolisan di lapangan.

“Saya setuju supaya tugas pejabat dan kerja lain yang bukan kepolisan diambil alih oleh kakitangan awam supaya tidak berlaku pembaziran tenaga seperti sekarang.

“Sepatutnya kita melihat jumlah anggota lebih ramai di bahagian kepolisan terutama bahagian pencegahan jenayah, itulah tugas polis, bukan menenyeh fail,” katanya kepada wartawan HASSAN MOHD. NOOR dan RAMLI ABDUL KARIM.

Mohammed Haniff juga menyebut tentang kesanggupan anggota dan pegawai polis bekerja lebih termasuk di luar tugas hakiki yang sudah tidak kelihatan.

Dalam wawancara itu yang diadakan di pejabatnya baru-baru ini, beliau turut mengulas mengenai bahagian perisikan yang kurang cekap memasang telinga, mengatasi masalah korupsi dan bagaimana polis mahu membuatkan rakyat rasa selamat.

MINGGUAN: Sebagai orang yang telah lama berkhidmat dalam polis, selama 35 tahun, bagaimana Tun melihat pasukan polis dahulu dan sekarang?

HANIFF: Sebelum saya bersara dulu zaman sedang berubah dan saya tinggalkan pesanan kepada pegawai-pegawai bahawa mereka yang tinggal mestilah cekap menguruskan perubahan ini. Kita tidak dapat lari daripadanya.

Perubahan ini disebabkan tiadanya lagi ancaman besar seperti Parti Komunis Malaya (PKM). Maka rakyat akan mendesak untuk mendapatkan lebih banyak kebebasan. Perubahan ini adalah cabaran kepada pihak polis.

Apabila kita menjangka perubahan ini, saya cuba memberikan persediaan kepada pegawai-pegawai termasuk mengikuti pengajian mendalami Perlembagaan, berkaitan hak asasi.

Kebanyakan masalah yang dihadapi oleh pasukan polis dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan kegagalan dalam menangani desakan untuk perubahan ini ataupun tidak dapat mencapai tahap sukses, seimbang dengan kehendak keadaan.

Apakah punca kegagalan ini?

HANIFF: Sebabnya ialah tentang sikap yang tidak berubah. Dulu polis ini tuan, rakyat itu subjek. Tetapi apabila rakyat sudah mula mengadu dan mempersoalkan tindakan polis, itu diterima sebagai cabaran. Sikap polis pula menjadi terlalu defensive dan ini berlaku dalam tahun 1990-an.

Dengan sikap demikian, kita tidak dapat melayan kehendak rakyat untuk mempunyai kebebasan yang lebih. Kita masih mencengkam mereka seperti dulu sedangkan rakyat fikir sudah tidak ada ancaman besar seperti komunis.

Saya berpegang kepada prinsip bahawa pengurusan pasukan polis terletak kepada close command and control (perintah dan kawalan ketat) disebabkan pasukan ini mempunyai terlalu banyak kuasa. Ia tidak boleh dikendalikan semata-mata atas prinsip pengurusan seperti syarikat atau jabatan kerajaan lain.

Apakah keperluan prinsip itu?

HANIFF: Kepimpinan mesti mewujudkan sistem dengan perintah dan kawalan ketat terhadap orang bawahan. Saya berpendapat ini sudah renggang pada masa ini.

Ini kerana sesiapa yang hendak amalkan prinsip ini kepimpinan tidak akan mempunyai masa yang banyak untuk perkara lain. Mereka terpaksa tumpukan perhatian seratus peratus terhadap pasukan kerana semua perkara yang membabitkan kuasa dilakukan dengan ketat.

Prinsip perintah dan kawalan ketat ini ialah memastikan setiap anggota dan pegawai semua respons terhadap arahan-arahan dan peraturan yang ditetapkan.

Dengan pengawasan ketat dan menekankan akauntabiliti, barulah dapat ditentukan setiap pergerakan dan tindakan adalah betul.

Kalau asyik mahu bermain golf atau selalu mementingkan cuti, prinsip perintah dan kawalan ketat tadi sukar dilaksanakan.

Adakah Tun ingin memberitahu bahawa pasukan sekarang kurang menekankan akauntabiliti pasukan?

HANIFF: Kalau dibandingkan dengan dahulu, memang ya. Dulu, untuk lebih akauntabiliti saya menubuhkan Unit Disiplin Pusat dan diletakkan di bawah saya sendiri.

Tujuannya ialah supaya lebih ramai anggota dan pegawai yang berdisiplin dan jujur. Prinsip saya, kalau pasukan bersih dan rela bekerja jujur, sudah tentulah begitu ramai orang (polis) yang akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Mereka ini melapor terus kepada saya, Ketua Polis Negara. Tujuannya supaya pegawai-pegawai ini tidak takut mengawasi pegawai lain di bawah saya.

Sepanjang saya bertugas lebih 10 tahun sebagai Ketua Polis Negara, tidak kurang 20,000 tindakan diambil. Ini bukanlah kemegahan tetapi ia mendukacitakan apabila terpaksa bertindak terhadap pegawai polis sendiri.

Apabila saya bersara, unit ini dibubarkan dan diletakkan di bawah ketua-ketua polis negeri dan daerah. Bagaimana pegawai ini mahu bekerja jika diletakkan di bawah orang yang juga sepatutnya diawasi?

Mungkinkah orang atasan sekarang tidak mengikut cara Tun yang mengawasi dengan ketat setiap pegawai kerana tindakan itu tentunya kurang popular?

HANIFF: Yalah, memang tidak popular. Adakah kita bertugas untuk populariti? Apakah tugas kita? Kita orang atasan ni, mahu berkhidmat untuk anggota dan pegawai dalam pasukankah atau untuk rakyat?

Rakyat yang menggajikan kita, untuk apa? Tentu ada tugasnya, jalankanlah tugas itu.

Bagaimanakah pula Tun melihat mutu kerja pasukan polis sekarang?

HANIFF: Persepsi saya secara peribadi memang melihat ketaatan, komitmen dan penghayatan mereka terhadap tugas berkurangan.

Misalnya sistem kerja Aberdeen Patrol, mungkin ramai yang tidak tahu dan tanya “saya tidak pernah ke Scotland” kerana mereka ingat itu Aberdeen di Scotland.

Apabila kita asyik kata tidak cukup orang, kenapa tidak gunakan sistem Aberdeen Patrol iaitu cara penentuan rondaan yang lebih meluas tetapi menggunakan kurang orang.

Pada masa ini daripada 85,000 anggota polis keseluruhannya, hanya separuh terlibat dalam urusan mengawal keselamatan dan ketenteraman awam manakala selebihnya menjalankan tugas-tugas pentadbiran, pengurusan dan logistik.

Di manakah silapnya pembahagian ini yang tidak memberi gambaran tentang tugas kepolisan?

HANIFF: Saya mahu menjelaskan begini. Dulu oleh kerana adanya ancaman komunis, maka pada bila-bila masa diperlukan semua anggota dari seluruh unit, termasuk yang bekerja di pejabat malah yang bermain pancaragam pun boleh digunakan untuk tugas-tugas kepolisan dalam menangani ancaman ini.

Kalau diletakkan kakitangan awam untuk menjalankan tugas itu, mereka tidak boleh diarahkan untuk menjalankan tugas dalam keadaan yang saya sebutkan tadi.

Tetapi keadaan sudah berubah apabila tiada lagi ancaman komunis. Apakah perlunya terlalu ramai anggota dan pegawai menjalankan tugas bukan kepolisan?

HANIFF: Saya rasa ini kerana tiadanya kesedaran untuk menurunkan lebih ramai polis terlatih ini daripada tugas pejabat kepada tugas kepolisan seperti rondaan dan siasatan jenayah. Menggunakan polis yang terlatih dalam tugas-tugas kepolisan untuk kerja yang tidak berkaitan memang merugikan.

Jadi Tun sendiri bersetuju kalau ditempatkan kakitangan awam bagi menggantikan tugas-tugas polis di pejabat?

HANIFF: Ya. Itulah jawapan sebenarnya. Dalam hal ini, kita hanya perlu meminta supaya tugas mereka itu digantikan oleh kakitangan awam. Ini bagi membolehkan anggota polis terbabit menjalankan tugas kepolisan manakala kerja-kerja pentadbiran diambil alih oleh kakitangan awam.

Apabila berlaku penggunaan tenaga secara tidak optimum dalam polis, sama ada betul atau tidak, masyarakat sudah membuat tanggapan bahawa penempatan terlalu ramai anggota polis untuk tugas-tugas pejabat adalah suatu pembaziran. Apakah penjelasan Tun?

HANIFF: Sebenarnya, orang yang masuk polis ini lebih menyukai kerja-kerja di lapangan. Dia tidak mahu kerja di pejabat. Memanglah ini sesuatu yang merugikan.

Tetapi ini bukanlah salah pegawai atau anggota polis berkenaan, tetapi itu kesalahan orang atasan yang menempat atau menyusun jawatan mereka dengan tugas-tugas begitu.

Orang atasan ini mesti merasai bahawa tugas utama dirinya sendiri dan anggota bawahannya ialah menjaga keselamatan, nyawa dan harta benda rakyat serta negara. Itulah tugas polis, bukan menenyeh fail.

Bercakap tentang penggantian perjawatan kepada kakitangan awam, ini di luar bidang kuasa polis. Apakah cadangan Tun?

HANIFF: Pihak kerajaan, Perbendaharaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga perlu sedar bahawa polis sepatutnya dibenarkan berubah mengikut peredaran semasa.

Dalam memenuhi keperluan perjawatan ini, kerajaan tidak patut terlalu mengikut birokrasi seperti dikenakan ke atas jabatan lain kerana keperluan polis berubah-ubah mengikut tahap dan jenis ancaman.

Saya juga berpendapat sudah tiba masanya kita menekankan tentang pengambilan anggota dengan asas sementara.

Tetapi mereka ini layak diberikan ganjaran atau gratuiti apabila mahu berhenti walaupun ini bertentangan dengan peraturan JPA.

Hakikatnya, dengan ancaman jenayah dan keperluan berubah-ubah ini, pengambilan pegawai sementara yang ramai boleh membantu mengatasi masalah ini.

Dalam polis, bidang manakah yang diberi keutamaan?

HANIFF: Terdapat lima tugas utama. Paling penting ialah mencegah jenayah. Selepas itu barulah pengesanan jenayah iaitu kerja-kerja detektif dan diikuti bahagian siasatan. Keempat ialah bahagian pendakwaan.

Akhir sekali ialah bahagian risikan keselamatan iaitu kerja merisik, pengumpulan risikan sebelum diedarkan kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti tentera dan kementerian berkenaan.

Kalau begitu, ditambah dengan perubahan trend jenayah dan ancaman keselamatan semasa, penempatan anggota untuk tugas kepolisan perlu diutamakan mengatasi jumlah petugas di pejabat?

HANIFF: Ya, memang betul. Dalam pada itu tugas di pejabat pun penting juga. Kalau tidak siapa pula mahu menguruskan soal gaji, perkeranian dan lain-lain. Sebab itulah saya sebutkan tentang pentingnya tempat mereka itu digantikan oleh kakitangan awam.

Tetapi kenapakah sehingga terlalu ramai bekerja di pejabat menyamai petugas kepolisan?

HANIFF: Penjelasan saya begini. Sekarang tugas duty officer contohnya, dijalankan oleh tiga atau empat orang anggota. Satu hari tiga orang bekerja secara syif iaitu masing-masing selama lapan jam. Kalau ada seorang bercuti, masih ada seorang lagi. Dahulu ketika pasukan kurang mewah tugas-tugas di pejabat dibantu oleh pegawai atau anggota lain yang dedikasi.

Memanglah seseorang tidak boleh bekerja lebih daripada lapan jam. Selepas duty officer sebenar tamat bekerja lapan jam, tugasnya akan diambil alih bergilir-gilir oleh anggota lain.

Penggantinya ini sebenarnya mempunyai tugas hakiki sendiri tetapi melakukannya disebabkan dedikasi dan komited kepada pasukan.

Berapakah nisbah keperluan perjawatan dalam polis terutama dalam lima tugas kepolisan yang Tun nyatakan tadi?

HANIFF: Bagi saya tidak ada nisbahnya. Kita tidak dapat tentukan secara tepat keperluan untuk tiap-tiap tugas kepolisan.

Yang penting, jumlah pegawai dan anggota mestilah mencukupi untuk tugas di luar menjaga keamanan dan keselamatan rakyat dan negara. Ia banyak bergantung kepada indeks jenayah. Kalau jenayah kurang, penyiasat tidak perlu ramai dan pendakwa pun tidak perlu ramai.

Maknanya bahagian pencegahan jenayah perlukan anggota paling ramai?

HANIFF: Ya. Itulah maksud saya. Jumlah mereka yang mencegah jenayah termasuk menjalankan rondaan perlu ditambah.

Pihak atasan juga perlulah bijak dalam menyusun atur pegawai dan anggota pasukan.

Apabila keperluan dijangka bertambah pada satu-satu masa, misalnya waktu cuti sekolah yang mana jenayah mungkin meningkat, janganlah luluskan banyak cuti kepada anggota atau pegawai polis. Sebaliknya tambah orang untuk membuat rondaan.

Dahulu kita berpegang bahawa cuti bukannya hak kita tetapi adalah keistimewaan. Tak tahulah kalau sekarang mereka sudah anggap cuti adalah hak mereka.

Kita sudah bersetuju bahawa pencegahan itu amat penting, tetapi masalahnya di dalam polis tiada Jabatan Pencegahan Jenayah yang khusus seperti di Singapura atau England?

HANIFF: Dulu sewaktu saya menjadi Ketua Polis Daerah Ipoh ada unit pencegahan jenayah. Tidak tahulah sama ada orang atasan sekarang sedar kepentingan unit seperti ini atau tidak. Kalau kita mahu menangani sesuatu masalah, kita kena kenali punca masalah itu dan mengakui wujudnya masalah itu.

Sebab itu kita tidak boleh ada sindrom suka membuat penafian. Orang seperti ini selalu kata tahap jenayah tidak begitu tinggi. Apabila rakyat kata jenayah meningkat, kita nafikan dan tunjukkan statistik yang menurun.

Kenapa ada percanggahan persepsi ini?

HANIFF: Selain sindrom suka menafikan, apa yang berlaku ialah mungkin rakyat sudah meluat sehingga tidak mahu membuat aduan kepada polis kalau berdepan dengan jenayah.

Kenapa mereka tidak mahu buat report? Bagi mereka tiada gunanya buat report, bukannya dapat semula barang mereka yang dicuri. Ini tentunya berdasarkan pengalaman mereka apabila buat report, tiada seorang pun anggota polis yang datang menyiasat.

Bagi anggota polis yang terima aduan itu, dia anggap kes yang dilaporkan itu adalah jenayah kecil. Ada kes kopek tingkap rumah misalnya, anggota polis itu kata “apa kopek tingkap ni, ini perkara kecil.”

Sedangkan kepada pengadu ini, itu adalah kes besar, “tingkap rumah aku kena kopek, aku sudah tidak selamat lagi”.

Sebabnya ialah kejadian jenayah itu telah menghilangkan sense of security. Mereka mula curiga dan tidak rasa selamat lagi.

Dahulu tahap kesediaan atau kesanggupan anggota amat tinggi untuk bekerja lebih masa secara sukarela atau menjalankan tugas di luar bidang kerja kepolisan.

Saya rasa saudara pun masih ingat, dahulu kalau ada kematian di sesuatu tempat, orang ramai telefon polis. Mereka minta polis maklumkan kepada waris atau saudara-mara di tempat lain yang jauh dari tempat kematian.

Ini kami lakukan dahulu. Walaupun kayuh basikal tiga empat batu jauhnya, berita kematian itu tetap disampaikan. Sekarang nilai kesanggupan, kerelaan dan semangat begini sudah tidak kelihatan lagi.

Apakah ukuran ancaman jenayah?

HANIFF: Saya mahu cerita ketika saya masih bertugas dulu. Saya bertegas supaya indeks jenayah diturunkan lagi walaupun statistik menunjukkan pengurangan.

Pegawai dan anggota ketika itu tanya: “Tan Sri, hendak turun sampai rendah mana lagi masalah jenayah ini?”

Saya jawab: “Sehingga rakyat rasa selamat. Sungguhpun ada lagi satu dua jenayah, tetapi jika rakyat rasa selamat, mereka tidak buat aduan. Selagi ada aduan, selagi itulah mereka rasa tidak selamat.”

Jadi kalau rakyat tidak rasa selamat, ini memberi mesej jelas bahawa kita belum lagi menjalankan tugas dengan sempurna untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara. Itulah hakikat yang kita perlu terima.

Satu persoalan lagi. Apabila ditanya, kebanyakan ketua jabatan termasuk polis memberi alasan bahawa masalah keberkesanan berpunca daripada kekurangan anggota. Tetapi dalam kes polis, nampaknya kesilapan mengenal pasti keutamaan menjadi punca. Adakah Tun bersetuju?

HANIFF: Saya tidak pasti. Mungkin kepada orang yang berkata begitu memang betul tidak cukup orang. Kita kena lihat jumlah anggota dalam pasukan keseluruhannya, adakah ia mencukupi atau tidak? Ada orang kata jumlah 85,000 anggota itu sudah besar dan cukup.

Contohnya, kalau 30,000 orang jalankan kerja-kerja kepolisan, ramai yang lupa bahawa mereka ini bertugas tiga syif. Maksudnya hanya 10,000 orang bekerja pada satu-satu masa. Mana ada orang bekerja 24 jam sehari.

Beralih kepada satu lagi isu. Risikan kita dikatakan lemah. Ini terbukti apabila kita gagal mengesan gerakan yang boleh mengancam keselamatan seperti, KMM, JI dan Al-Maunah. Hanya selepas rompakan berlaku barulah kita tahu tujuan sebenar gerakan ini? Di manakah silapnya keadaan ini?

HANIFF: Itu maknanya kita sudah tidak cekap memasang telinga. Polis sepatutnya sentiasa pasang telinga supaya tahu apa saja berlaku dalam masyarakat sekitarnya.

Kebanyakan anggota atau pegawai polis termasuk bukan dari Cawangan Khas diberikan tanggungjawab iaitu kawasan masing-masing yang dituntut mengawasinya.

Risikan ini dijalankan di luar daripada kerja hakiki harian mereka, walaupun misalnya mereka bekerja menjaga lokap.

Setiap pegawai dan anggota yang diamanahkan ini tidak boleh buat laporan “hasil lawatan saya didapati semua baik adanya”.

Ini tidak boleh diterima. Kena dinyatakan dengan siapa berjumpa, dapat maklumat daripada siapa, semuanya perlu dijelaskan.

Orang atasan pula tidak boleh mempercayai sepenuhnya laporan daripada pegawai-pegawai ini, kenalah buat siasatan. Jumpa sendiri dengan ejen pemberi maklumat mereka dan bertanya benarkah pegawai polis ini menemui mereka. Kita tidak mahu ada pegawai yang membuat laporan sekadar memenuhi arahan.

Adakah polis khususnya di Cawangan Khas ini sudah selesa kerana tidak ada lagi ancaman besar seperti komunis?

HANIFF: Sebagai perisik, mereka kena tahu tugas mereka ialah merisik segala-galanya yang boleh mendatangkan ancaman kepada negara dan rakyat. Mereka perlu cari maklumat tentang apa saja yang boleh mendatangkan ancaman.

Kalau risikan menunjukkan adanya yang mendatangkan ancaman, kenalah laporkan kepada Ketua Polis Negara supaya tindakan boleh diambil, bukan sekadar merisik, kumpul dan simpan.

Kenapa polis silap perkiraan dalam kes Al-Maunah kerana pertubuhan itu bukan tersembunyi malah mempunyai laman web sendiri. Dan kenapa kita tidak boleh kesan kegiatan sebegini?

HANIFF: Itu Cawangan Khas dan Ketua Polis Negara sekarang saja boleh jawab. Pada kita termasuk di luar, mungkin kita anggap mereka tidak mengetahui tentang perkara itu.

Pendekatan kita menangani ancaman seperti keganasan dengan ancaman jenayah, seharusnya berlainan. Mungkin dalam kes Al-Maunah polis sudah tahu daripada risikan tentang kegiatan mereka, cuma belum sampai masa untuk bertindak.

Kita juga ada masalah penuntut dan pensyarah universiti yang terlibat dalam kegiatan kumpulan yang mengancam keselamatan negara. Adakah polis sekadar merisik dan mengumpul maklumat tetapi tidak mengedarkannya kepada pihak-pihak berkenaan?

HANIFF: Mungkin begitu. Mungkin juga tidak. Yang sepatutnya, polis di bahagian perisikan ini mestilah sentiasa berhubung dengan lain-lain jentera kerajaan.

Maklumat-maklumat ini perlu disampaikan kepada mereka supaya tindakan susulan boleh diambil bagi menghalang ancaman berbahaya ini daripada berkembang.

Kalau ancaman berkisar di universiti misalnya, maklumat perisikan yang diterima itu perlu disampaikan kepada Kementerian Pendidikan, bukannya disimpan. Polis kena selalu beritahu. Soalnya polis sendiri tahu atau tidak ancaman-ancaman itu?

Mungkin juga maklumat ini sudah disampaikan kepada pihak berkaitan tetapi tidak diambil tindakan. Itu saya tidak pasti.

Betulkah perisikan di negara jiran lebih baik sehingga mereka boleh lebih awal tahu apa yang kita mahu lakukan?

HANIFF: Kita boleh buat pilihan sama ada mengamalkan demokrasi seperti di Amerika Syarikat yang mengumumkan segala rancangannya, atau kita kembali kepada prinsip utama dalam polis. Kalau kita tidak mahu rancangan kita diketahui, kita mestilah berpegang kepada prinsip utama dari dulu iaitu know your enemy dan need to know basis.

Dalam prinsip ini, seseorang pegawai polis sendiri tidak akan berani bertanyakan tentang siasatan atau apa-apa maklumat daripada pegawai polis lain.

Jenayah-jenayah kejam semakin meningkat. Mangsa dirompak, dirogol, dibunuh dan dibakar. Dan apa peranan yang harus dimainkan oleh pasukan polis?

HANIFF: Pada zaman ini rakyat mahukan kebebasan, jadi polis menghadapi kesukaran untuk menjalankan beberapa operasi.

Berbeza dengan dahulu yang mana ketika masih ada komunis, ketika perintah berkurung pun kita masih jalankan operasi mengesan perlakuan jenayah. Kita periksa kenderaan dan sebagainya. Orang ramai tidak membantah kerana tahu sebabnya.

Tetapi apabila tiada lagi ancaman komunis ini, polis sukar memeriksa semua orang kerana rakyat menuntut lebih kebebasan.

Apakah cadangan Tun dalam isu ini?

HANIFF: Institusi Rukun Tetangga (RT) perlu dihidupkan semula selepas sudah lama dilupakan. Kita mahu kalau boleh fungsinya kembali seperti dulu.

Tiada seorang pun daripada rakyat Malaysia yang tidak diliputi sektor RT dan pengawasan daripada sukarela di kawasan mereka. Menerusi RT, semua orang juga terlibat dalam pencegahan jenayah. Untuk pencegahan jenayah, penambahan jumlah polis simpanan juga diperlukan.

Polis berdepan dengan kerosakan imej berikutan masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta krisis pada 1999. Bagaimanakah mahu memulihkan imej, integriti pasukan polis sekarang?

HANIFF: Tidak susah. Tinggalkan masalah-masalah lama ini dan tumpukan kepada usaha meningkatkan imej pada masa ini. Rakyat bukannya mahu cerita mereka dulu selamat tetapi mereka fikirkan tentang keselamatan mereka sekarang ini.

Kalau kerosakan imej ini adalah persepsi rakyat, betulkanlah dengan apa cara pun supaya persepsi rakyat memihak kepada polis.

Jika persepsinya polis itu korup, sama ada benar atau tidak, itu sudah jadi persepsi. Bagi mengatasi rasuah dalam polis, kita kena tengok pendekatan yang diambil. Adakah pendekatan itu membiarkan masalah menjadi lebih besar atau sebaliknya?

Pihak polis sekarang kena bijak mengenal pasti punca persepsi ini dan mengatasinya segera. Tindakan menafikan persepsi orang lain tidak menyelesaikan masalah.

Dalam masalah korupsi ini, apakah cadangan tindakan daripada Tun?

HANIFF: Kadang-kadang saya fikir tindakan pentadbiran ketika British dulu amat penting. Mereka bertindak serta-merta terhadap ketua-ketua jabatan termasuk polis yang mana jabatan mereka berhadapan dengan masalah rasuah.

Bukan esok, lusa, tulat atau bulan depannya baru British bertindak, tetapi serta-merta dihantar pulang ke England sebagai hukuman.

Dulu pesuruhjaya polis pun yang bermasalah dan tidak berkesan dihantar pulang ke England. Mereka lakukan demikian kerana tidak mahu rakyat membuat persepsi buruk terhadap British dan raja mereka. Jadi orang bawah pun fikir: “Kalau bos kita pun kena, tidak mustahil kita boleh kena tindakan”. Sekarang sebaliknya berlaku. Mereka kata: “Alah… bos pun sama.”

Apakah pesanan Tun kepada anggota-anggota polis?

HANIFF: Komitedlah kepada tugas. Jaga maruah diri dan pasukan kalau betul-betul anda menghargai diri sendiri dan pasukan. Cara terbaik ialah memenuhi harapan rakyat iaitu menjaga keselamatan, harta benda dan persekitaran.

Tentang caranya, terpulanglah kepada setiap pemimpin dan anggota dalam pasukan polis. Asalkan, amanah rakyat dipenuhi.

Janganlah berpuas hati dengan statistik dan rekod tetapi ambil kira persepsi rakyat. Tiada gunanya statistik jenayah menurun tetapi persepsi rakyat kata meningkat dan tidak selamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *